Petua rawat rambut kering dan mengembang semula jadi


Rambut adalah lambang keyakinan diri dan amat berharga bagi setiap orang, malah ia ibarat mahkota bagi wanita.
Bagi sesetengah orang, penjagaan rambut sama penting dengan kulit wajah, namun tidak kurang juga yang mengabaikannya hingga timbul pelbagai masalah rambut.
Bagaimanapun, pasti ramai antara kita pernah berdepan masalah rambut seperti rosak, kusut, bercabang, terlalu kering malah menjadi kembang.
Selain bergantung kepada produk rawatan rambut, ada baiknya jika rawatan secara semula jadi dilakukan dengan menggunakan bahan yang ada di rumah, malah ia lebih selamat tanpa bahan kimia berbahaya.
Mungkin kesibukan tugas menyebabkan anda lebih senang ke salun, namun rawatan secara tradisional lebih baik dan selamat tanpa kesan sampingan. Sesetengah produk rawatan moden, boleh memberi kesan pada rambut pada masa depan.
Tidak salah menggunakan produk rambut di pasaran, cuma pastikan ia tidak mengandungi bahan kimia berlebihan yang boleh menjejaskan kesihatan kulit kepala. Sekali sekala anda boleh memanjakan diri dengan melakukan rawatan rambut di rumah dengan bahan semula jadi.
Beberapa bahan tradisional di bawah boleh anda gunakan sebagai perawat rambut kering dan mengembang secara semula jadi:
Minyak zaitun
Minyak zaitun ialah bahan yang sering digunakan untuk mengatasi masalah rambut kering. Minyak zaitun banyak mengandung vitamin E dan antioksidan yang dapat membuat rambut menjadi sihat kembali.
Caranya mudah, panaskan minyak zaitun hingga
suam-suam kuku dan oleskan pada bahagian rambut sambil diurut. Jangan lupa untuk menggunakan penutup rambut. Biarkan selama kira-kira 30 minit dan bilas bersih. Lakukan langkah ini seminggu dua kali supaya mendapat hasil yang baik.
Mayonis
Mayonis memiliki khasiat iaitu melembutkan dan menyinarkan rambut. Mayonis mengandungi banyak protein. Caranya, oleskan mayonis pada kulit kepala dan rambut. Pakai penutup kepala dan biarkan selama sejam. Bilas dengan menggunakan air suam, ramas, serta lakukan langkah ini sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Madu
Madu memiliki khasiat yang banyak. Selain bermanfaat menyihatkan badan, madu juga mengandungi khasiat yang tinggi untuk kesihatan rambut.
Madu yang digunakan sebagai perapi akan membuat rambut lebih halus, lembut dan lembap. Cara menggunakannya mudah iaitu selepas rambut disyampu dan dibilas, sapukan madu pada rambut, lakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali agar hasilnya dapat dilihat dengan lebih cepat.
Telur
Gunakanlah telur sebagai perapi rambut. Telur dapat melembutkan dan memberi khasiat kepada rambut anda. Caranya mudah, oleskan telur yang sudah dipukul ke atas kulit kepala dan rambut anda, kemudian urutkan ia, biarkan sekitar 15 minit dan bilas hingga bersih.
Minyak bijan
Minyak bijan memiliki banyak nutrisi yang diperlukan rambut kering. Caranya mudah, campurkan tiga sudu makan minyak bijan dengan halia parut kemudian oleskan di atas kepala.

Urut kulit kepala dan rambut anda hingga minyaknya rata. Biarkan selama lebih kurang lima minit dan bilas bersih. Lakukan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

0 comment... add one now