Pesawat milik UTHM bernilai RM920 ribu disimpan dalam parkir bas

pesawat uthm

KUALA LUMPUR – Sebuah pesawat bernilai hampir RM920,000 yang dibeli Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) untuk kegunaan kursus Teknologi Kejuruteraan Aeronautik terpaksa diletakkan di kawasan parkir bas sejak empat tahun lalu gara-garakekangan bajet.

China Press memetik Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 sebagai memaklumkan, sebuah kawasan parkir bas telah diubah suai untuk dijadikan hangar pesawat Lear Jet 24 Series itu.

Dalam laporan itu, menerusi tender terbuka pada 25 Ogos 2011 universiti itu memperuntukkan RM913,995 untuk melantik syarikat Global Aerospace bagi membekal dan menguji pandu pesawat berkenaan bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran di UTHM.

Pesawat itu tiba di universiti berkenaan pada 23 April 2012 dan kegunaan utamanya adalah untuk program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penerbangan Profesional) dan (Senggara Pesawat).

Bagaimanapun, lawatan fizikal audit pada 9 September 2015 dan 20 Oktober 2015 mendapati lokasi penyimpanan pesawat itu tidak sesuai dan tidak memenuhi ciri-ciri keselamatan, justeru ia boleh menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Mengikut perancangan asal, pesawat itu sepatutnya ditempatkan di kawasan Tanjung Labuh yang meliputi landasan dan tempat penyimpanan.

“Bagaimanapun, perolehan pembinaan landasan tersebut tidak dapat diteruskan kerana kekangan bajet,” menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015.

UTHM dalam maklum balasnya pada 4 Februari lalu menjelaskan, hangar itu bersifat sementara sebelum hangar sebenar dibina dengan peruntukan kerajaan yang telah diluluskan Kabinet pada 2013.

Ketika ini, Unit Perancang Ekonomi (EPU) sedang mempertimbangkan permohonan peruntukan pembangunan untuk projek Aeronautik di Tanjung Labuh, Batu Pahat.

0 comment... add one now