Perubahan cuaca berisiko penghidap asma, alahan hidung!


Akhir-akhir ini perubahan cuaca berlaku sangat mendadak. Selepas berbulan-bulan dilanda panas terik hasil fenomena El Nino mengakibatkan kemarau panjang dan kebakaran hutan, kini tiba masa kita berdepan fenomena La Nina.
La Nina ialah perubahan cuaca sejuk menyebabkan hujan dan ia berlawanan dengan El Nino yang membawa perubahan cuaca panas menyebabkan kemarau. Perubahan iklim itu adalah fenomena global.
Bagaimanapun, perubahan iklim berkenaan menimbulkan impak dalam pelbagai bidang kehidupan manusia termasuk kesihatan. Walaupun penyakit yang disebabkan perubahan cuaca tidak kronik, tetapi penyakit ringan tetap mengganggu aktiviti seharian kita.
Jika musim panas membawa gelombang haba yang meningkatkan risiko kesihatan seperti dehidrasi, kelesuan haba dan strok haba, cuaca hujan pula meningkatkan risiko selesema, batuk dan demam termasuk penyakit bawaan air serta vektor.
Menurut Doktor Perubatan Keluarga Bakti Healthcare, Dr Rohaya Ramli, penghidap asma dan alahan hidung (allergic rhinitis) adalah golongan berisiko tinggi mendapat penyakit akibat perubahan cuaca disebabkan mereka mempunyai alahan.
Alahan dipercayai meningkatkan kecenderungan seseorang untuk mendapat serangan penyakit yang dihidapi dengan lebih buruk apabila terdedah kepada bahan pencetus.
“Asma adalah penyakit paru-paru yang terjadi akibat radang dan penguncupan saluran pernafasan. Penyakit ini cepat berubah dan mungkin menjadi lebih buruk dengan perubahan persekitaran seperti cuaca atau musim.
“Bagi penghidap asma, ketika perubahan cuaca berlaku mereka mungkin lebih mudah diserang dan menunjukkan tanda seperti pernafasan berbunyi, batuk berpanjangan dan sesak nafas,” katanya.
Alahan hidung pula adalah keadaan membran hidung mengalami keradangan dan membengkak kerana sensitif terhadap satu atau beberapa bahan alahan termasuk keadaan sejuk, perubahan cuaca atau makanan tertentu.
Gejala alahan hidung biasanya seperti hidung tersumbat, gatal, bersin, batuk dan mata berair sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dan sering disangka petanda hendak demam.
“Bagaimanapun, bagi orang yang tidak menghidap kedua-dua penyakit atau alahan terbabit kesihatan mereka tidak terjejas akibat perubahan cuaca.
“Seandainya mereka masih mendapat penyakit ringan seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak, ia disebabkan sistem imunisasi yang lemah sehingga mudah terkena jangkitan kuman.
“Selain daya ketahanan badan yang lemah, mengalami tekanan dan tidak cukup tidur juga mendorong tubuh mudah dijangkiti kuman,” katanya.
Mengenai musim panas yang turut membawa gelombang jerebu, Dr Rohaya berkata, keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan buruk kepada semua orang terutama golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan penghidap alahan dan penyakit berkaitan pernafasan seperti asma.
“Kesan yang akan dialami selepas terdedah secara berterusan kepada jerebu seperti gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk, sesak nafas, mata pedih dan berair, hidung berair dan kerap bersin serta kulit gatal-gatal.
“Bagi penghidap asma dan alahan hidung, jerebu menyebabkan keadaan penyakit mereka bertambah teruk. Masalah kulit gatal-gatal juga lebih kerap berlaku terhadap penghidap atopik dermatitis seperti ekzema,” katanya.
Oleh itu, mereka yang berisiko tinggi menghidap penyakit akibat perubahan cuaca hendaklah mendapatkan pemeriksaan dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk.
“Mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihat­kan seperti penyedut (inhaler) bagi penghidap asma, manakala bagi penghidap alahan sentiasa membawa penyembur hidung.
“Kurangkan aktiviti luar ketika cuaca semakin buruk, namun jika terpaksa hendaklah memakai penutup hidung (nasal mask) dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak bagi mengelak dehidrasi,” katanya.
Risiko Penyakit Musim Hujan atau Sejuk:
1. Denggi
2. Malaria
3. Kepialu
4. Cirit-birit
5. Taun
6. Leptospirosis
7. Jangkitan Penyakit Kulit
8. Influenza
9. Jangkitan Pernafasan Akut

10. Konjunktivitis

0 comment... add one now