Pelajar Malaysia di Australia pindah wang RM15 ribu sehari ke akaun bank rahsianya



Seorang pelajar Malaysia di Australia didakwa telah menggunakan wang berjumlah A$4.6 juta (RM13.8 juta) secara salah yang dimasukkan oleh bank ke dalam akaunnya.

Dia dituduh telah memindahkan sebanyak A$5,000 (RM15,000) sehari ke dalam akaun-akaun bank rahsia di seluruh negara itu.

The Daily Telegraph melaporkan bahawa Christine Jiaxin Lee dipercayai menyalurkan A$33,000 (RM99,000) seminggu ke dalam akaun peribadinya di bank-bank yang tidak bergabung dengan Westpac, bank yang telah melakukan kesilapan sehingga dia memperoleh wang berjumlah RM13.8 juta itu.

Pindahan ke akaun-akaun tersembunyi itu dianggap berjumlah A$1.3 juta (RM3.9 juta) tetapi pindahan-pindahan yang cukup kecil itu tidak menimbulkan keraguan terhadap bank itu.

Ia juga melaporkan bahawa sebahagian besar daripada baki yang hilang berjumlah A$3.3 juta (RM9.9 juta) mungkin telah dipindahkan ke luar negara atau telah dibelanjakan.

Pelajar kejuruteraan kimia berusia 21 tahun itu telah diberikan overdraf tanpa had apabila dia membuka akaun bank dengan Westpac Bank pada bulan Ogos 2012.

Dia kemudian menghabiskan masa selama lima tahun untuk membelanjakan sebanyak A$85,000 (RM255,000) seminggu, tinggal di sebuah penthouse mewah di Sydney, Australia dan membeli pakaian dan beg tangan berjenama mewah.

Dia ditangkap di lapangan terbang Sydney minggu lalu selepas mendapat pasport kecemasan untuk terbang pulang ke Malaysia.

Dia didakwa tidak amanah mendapatkan manfaat kewangan dengan penipuan dan sengaja berurusan dengan hasil jenayah.

Walau bagaimanapun, majistret Lisa Stapleton dilaporkan menyatakan keraguan beliau tentang tuduhan terhadap Lee, bersetuju dengan peguam cara bantuan guaman Lee bahawa sukar untuk polis membuktikan perbelanjaan itu sebagai tidak sah.

"Dia tidak mengambilnya daripada mereka. Mereka memberikannya kepada dia," kata Stapleton.

0 comment... add one now