Munafik filem paling laris di Malaysia dengan kutipan RM19 juta

Munafik filem paling laris di Malaysia dengan kutipan RM19 juta 
Munafik merupakan sebuah filem seram yang diarahkan oleh Syamsul Yusof dan menampilkan dirinya sendiri, Nabila Huda,Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim, A. Galak dan Datuk Rahim Razali. Filem ini mengisahkan mengenai Adam (Syamsul Yusof), seorang pengamal perubatan Islam yang tidak dapat menerima kematian isterinya. Selepas bertemu dengan Maria (Nabila Huda), peristiwa pelik mulai menghantui dirinya. Filem ini telah ditayangkan kepada umum pada 25 Februari 2016.

Filem ini merupakan filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman dengan kutipan sebanyak RM 19.00 Juta, memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh Polis EVO (RM 17.40 juta).
Selepas empat hari ditayangkan, filem ini berjaya mengutip RM 2.3 Juta sebelum meningkat kepada RM 3 Juta pada hari kelima. Kutipan ini terus meningkat kepada RM 4.3 Juta selepas seminggu ditayangkan. Selepas 11 hari, kutipan meningkat kepada RM 8.5 Juta. Kutipan meningkat kepada RM 11 Juta selepas dua minggu ditayangkan. Memasuki hari kelapan-belas, kutipan menjangkau RM 12.97 Juta. Kutipan menjadi RM 17 Juta ketika hari ke dua-puluh enam. Filem ini kini telah mengumpul RM 19 Juta.
Filem ini telah berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM 2 Juta di Singapura.


SINOPSIS 
Adam dikenali sebagai seorang ustaz yang dikurniakan ‘kelebihan’ kerana setiap pesakit yang mengalami ‘gangguan’ sering berjaya diubatinya mengikut cara perubatan Islam. Sikap merendah diri terhadap kelebihan yang ada pada dirinya itu amat disenangi oleh semua yang mengenali, terutamanya penduduk kampung di kawasan yang dia diami.
Kebahagiaan yang dikecapi Adam bersama isteri dan anaknya tidak bertahan lama selepas dia dan isterinya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang ngeri. Isterinya meninggal dunia di tempat tragedi. Kematian isterinya, Zulaikha itu telah membunuh semua rasa dan mematahkan semangatnya untuk meneruskan tanggungjawab sebagai pengamal perubatan Islam yang sering mengubati orang-orang kampung.
Adam seakan-akan tidak boleh menerima Qada & Qadar Tuhan. Keimanannya mula rapuh, tergugat dan tidak sekuat dahulu. Adam mula murung, mengasingkan diri dari jemaah masjid dan lebih senang beribadat di rumah, ditemani anaknya Amir.
Dalam masa yang sama, Maria, salah seorang penduduk di kampung Adam mengalami gangguan jin/syaitan yang teruk sehingga ke tahap dia didiagnos oleh pakar perubatan moden dengan penyakit mental-kronik depresi (tekanan perasaan yang serius).
Kemewahan hidup keluarganya tidak membawa makna apa-apa bila gangguan yang dialaminya semakin lama semakin menggila kerana hanya bergantung pada ubat penenang yang kesannya hanya sementara. Ayahnya pula terlantar sakit dan dijaga oleh ibu tirinya,Zati. Zati meminta bantuan daripada Imam kampung untuk memujuk Adam mengubati Maria selepas kejadian Maria dirasuk teruk dan rumah mereka semakin banyak gangguan, penampakan jin/syaitan.
Sementara itu, Adam semakin tertekan kerana anaknya juga bersedih merindui arwah ibunya. Walau dalam keadaan tertekan, Adam terpaksa akur dan bersetuju untuk mengubati Maria selepas dipujuk dengan bersungguh-sungguh oleh Imam kampungnya. Bapa Adam, Rahim pula secara tiba-tiba datang melawat Adam dan cucunya. Dia juga menasihatkan Adam untuk membantu Maria. Gelagat Rahim yang agak pelik dicurigai Adam dan anaknya.
Dari saat pertama Adam bertemu Maria, misteri sebenar bermula dan persoalan demi persoalan timbul dalam pemikiran mereka. Ada kesinambungan cerita yang cuba diungkai tetapi masih tak jumpa. Episod demi episod gangguan telah menyentak kesedaran Adam. Dia zahirkan satu persatu petanda.
Apa yang sebenarnya melanda dalam kehidupan mereka berdua? Segala jawapan yang bakal terungkai semestinya mengubah seluruh kehidupan dan kekuatan iman Adam buat selama-lamanya.
Syamsul Yusof akan mengarahkan filem Munafik 2 dan pengambaraannya dijangka akan bermula pada akhir tahun 2016.

Sumber - wikipedia 

1 comment... add one now

Fendi Rocka Fendi Rocka Mei 29, 2016
bukan filem terbaik,tapi masih berbaloi utk ditonton.