Mufti Perlis kritik laporan akhbar bekam bayi sunnah Rasulullah SAW


Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengkritik laporan sebuah akhbar tempatan mengenai tindakan seorang bapa melakukan bekam ke atas bayinya.
Kata beliau, akhbar itu melaporkan bapa berkenaan mendakwa beliau berbuat demikian ke atas bayinya kerana mengikuti sunnah Rasullullah S.A.W.
“Saya tidak pasti apakah berita itu tersalah lapor ataupun memang demikian yang berlaku. Apa yang saya amat bimbang jika ada pembaca yang kurang maklumat akan tersalah faham terhadap baginda Nabi S.A.W.
“Mereka akan mempercayai kononnya Nabi menyuruh ibu bapa membekam bayi kecil walaupun tanpa sebarang sebab yang jelas. Itu sama sekali tidak benar,” tegasnya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.
Akhbar berkenaan melaporkan bapa bayi itu menggunakan teknik bekam sayatan ke atas anaknya sejak berusia 25 hari kerana mengikuti sunnah Rasullullah S.A.W
Lelaki itu dipetik sebagai berkata: “Tak mungkin Allah dan Rasul menuntutkan amalan hijamah itu jika berisiko tinggi bagi ummatnya.
Mohd. Asri menjelaskan, laporan sedemikian boleh mengundang salah faham masyarakat terhadap sunnah Nabi S.A.W kelihatan baginda kejam serta tidak saintifik.
“Dalam riwayat hadis yang sahih, Nabi berbekam disebabkan kesakitan kepala baginda. Bukan sengaja dilakukan tanpa sebarang penyakit.
“Kehendak mengikuti sunnah sesuatu yang baik, namun hendaklah juga difahami konteks sesuatu sunnah yang dipraktikkan oleh baginda supaya tidak tersalah tafsir,” kata Mohd. Asri. 

0 comment... add one now