Militan IS umum rancang untuk serang rakyat Malaysia

zainuri - militan IS


Bekas ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) Zainuri Kamaruddin, yang terkenal dengan beberapa cubaan bunuh dan rompakan bank bersenjata, mengumumkan rancangan Kumpulan militan Negara Islam (IS) untuk menyerang Malaysia.

Menurut laporan New Straits Times, Zainuri menerusi video propaganda IS yang baru disiarkan, berkata beliau dan kumpulannya adalah sebahagian daripada “pejuang mujahidin’ dan kepulauan Melayu satu hari nanti akan dipenuhi tentera pejuang IS yang membawa perjuangan itu ke sini, terutama Malaysia dan Indonesia.

Zainuri, 49, mengetuai sayap IS berbahasa Melayu Katibah Nusantara, dan pada masa ini berperang di Syria di bawah bendera IS.

IS mengisytiharkan Malaysia dan rakyatnya sebagai taghut (zalim dan berbuat jahat) dan perlu diperangi, kata Zainuri.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis memantau individu yang bersimpati kepada IS, terutama Zainuri, yang pernah dihukum penjara kerana memiliki senjata api dan bahan letupan.

Zainuri meninggalkan negara ini pada April 2014 untuk menyertai IS di Syria, dan terselamat dalam serangan tentera Bashar al-Assad pada Ogos dengan hanya kecederaan di leher dan paha. Rakannya, Zainan Harith, 52, juga bekas ahli KMM, maut.

“IS melihat, semua orang dalam negara ini, kecuali penyokong mereka, tidak kira pemimpin atau sarjana agama, semuanya berdosa dan perlu diperangi habis-habisan,” kata Ayob Khan.

Katanya, operasi membanteras keganasan tahu siapa berada di Syria, dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana melihat peningkatan pengaruh IS di rantau ini.

“Trend meningkat dalam statistik membabitkan IS di rantau ini ialah tanda peningkatan kekuatan mereka ke wilayah ini.

“Kita bersiap sedia, pengaruh IS tersebar luas di sempadan utara, selatan Filipina dan kemungkinan serangan secara berseorangan,” katanya.

Terdapat tiga lagi rakyat Malaysia dalam video 16 minit itu yang dikenal pasti sebagai Muhammad Nashrullah Abd Latif, 24, dari Grik, Perak; Sazrizal Mohd Sofian, 26, dari Seri Kembangan, Selangor, dan Abd Khalid Dari, 54, dari Sik, Kedah. – FMT

0 comment... add one now