Mas kahwin hanya secawan kopi, sebiji kurma jadi viral di UAE

Al Ain – Seorang bapa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) hanya meminta secawan kopi Arab dan sebiji kurma kepada bakal suami enam anak perempuannya sebagai mas kahwin.
Menurut laporan yang kini menjadi viral di media sosial UAE, lelaki itu yang menetap di Al Ain mengambil keputusan itu bagi mengurangkan beban bakal pengantin lelaki.
Dia juga menggesa ibu bapa lain mencontohi tindakannya.
Menurut bapa itu, kos untuk melangsungkan perkahwinan di UAE kini terlalu mahal sehingga menyebabkan ramai lelaki tempatan menangguhkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga.
Mereka berbuat demikian untuk menyimpan wang secukupnya bagi hantaran dan mas kahwin serta perbelanjaan untuk majlis itu.
Lelaki berkenaan juga berkata, kos yang terlalu tinggi itu juga menyebabkan lelaki UAE memilih untuk mengahwini wanita asing.
Ramai pengguna media sosial memuji keputusan lelaki itu.
“Ibu bapa perlu membenarkan anak perempuan mereka berkahwin dengan lelaki yang baik, termasuk latar belakang mereka, bukan kerana kekayaan. Dengan mengambil keputusan itu, bapa itu menjamin anaknya akan hidup bahagia dengan suami mereka tanpa perlu menanggung beban hutang untuk berkahwinan,” kata seorang pengguna, Mohammed. – Agensi/myMetro Online

0 comment... add one now