Malaysia terkandas selepas tewas dengan Denmark separuh akhir Piala Thomas 2016


Malaysia gagal untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian dua tahun lalu apabila terkandas di separuh akhir Piala Thomas selepas tewas kepada Denmark 2-3 di Pusat Sukan Kunshan, sebentar tadi.
Perlawanan yang berlangsung sehingga aksi penentuan selepas terikat 2-2 membabitkan perseorangan ketiga menyaksikan Chong Wei Feng gagal menyumbangkan mata kemenangan buat skuad negara apabila tewas di tangan Emil Holst 15-21, 18-21.
Terdahulu, Malaysia mendahului 2-0 hasil kemenangan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei ke atas Viktor Axelsen 23-21, 21-18 dan beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang mengatasi Mathias Boe-Mads Conrad Petersen 21-18, 21-18.
Bagaimanapun, perseorangan kedua negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin gagal memberi mata kemenangan awal apabila tewas kepada Hans Kristian Vittinghus 18-21, 18-21.
Denmark berjaya menyamakan kedudukan 2-2 apabila beregu mereka, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen menewaskan pasangan negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 10-21, 21-8, 21-13 sekali gus memaksa perlawanan ditentukan pada aksi penentuan.
Harapan tinggi untuk Wei Feng menyumbang mata kemenangan buat Malaysia jelas memberi tekanan kepada pemain berusia 29 tahun itu apabila tewas kepada Holst.
Kemenangan ke atas Malaysia menyaksikan Denmark bakal membuat perhitungan dengan Indonesia di pentas final, Ahad ini.


Indonesia mara selepas menewaskan Korea Selatan 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir. – Berita Harian

0 comment... add one now