Leicester bakal jana RM1.4 bilion hasil kejayaan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris


Image result for leicester city



Leicester City berpeluang untuk menjana antara STG150 juta (RM869.90 juta) sehingga STG250 juta (RM1.449 bilion) hasil kejayaan sensasi menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), menurut pakar-pakar pemasaran sukan. 

Leicester yang terletak di tengah-tengah England juga dijangka menikmati peningkatan komersial yang besar selepas skuad daripada bandaraya itu melakar sejarah menakjubkan yang menjadi tajuk utama berita di seluruh dunia. 


Namun, sekali pun kelab yang diberi jolokan The Foxes itu menikmati masa yang cukup menyenangkan ketika ini, perjalanan mereka untuk menyertai kelompok elit kelab-kelab gergasi dunia tampak masih jauh.


Kelab yang tidak pernah memenangi trofi elit liga bola sepak Inggeris itu akan membawa pulang hadiah lumayan STG90 juta (RM521.94 juta) hasil kemenangan selain duit yang dijana daripada kejayaan beraksi di kempen Liga Juara-Juara, musim depan serta peningkatan lain daripada televisyen dan keuntungan hari perlawanan. 


Selaku juara EPL, Leicester dijangka menarik lebih banyak penaja termasuk di peringkat global dan dijangka memberi pulangan STG150 juta (RM869.90 juta) kepada kelab itu, kata firma yang terbabit dengan sukan dan hiburan, Repucom. 


Pakar lain pula menjangkakan jumlah lebih tinggi dengan beberapa media di Britain melaporkan ia mampu mencapai STG250 juta (RM1.449 bilion) seandainya Leicester mampu membuktikan kejayaan yang diraih sebagai 'keajaiban satu musim.' 


Penonton televisyen Leicester secara global pada musim ini meningkat kepada 23 peratus disebabkan cerita dongeng yang dimainkan mereka untuk melakar kejuaraan dengan penonton di United Kingdom saja berjumlah 785,000 hingga 1 juta untuk satu perlawanan. 


Di Itali, jumlah penonton yang menyaksikan perlawanan Leicester berganda disebabkan kelab itu dikendalikan pengurus kelahiran Itali, Claudio Ranieri. "Nilai media Leicester meningkat 30 peratus secara global manakala di Amerika Syarikat ia meningkat kepada lebih 70 peratus, memberi petanda utama peningkatan dalam nilai semasa kelab itu dan penaja-penaja berpotensi," kata Repucom. 


Penampilan pertama kelab itu dalam Liga Juara-Juara juga menyaksikan mereka dijangka memperoleh 'duit besar' sekitar STG36 juta (RM208.78 juta). Sekali pun kemenangan mereka mencipta 'kegilaan' di Thailand disebabkan pemiliknya ialah keluarga Srivaddhanaprabha, mereka belum memiliki kelab penyokong sebesar kelab-kelab besar England lain seperti Manchester United, Arsenal dan Liverpool. 

Sumber - REUTERS

0 comment... add one now