Kini Kosmo akhbar harian Melayu no 1 atasi Harian Metro


Di sebalik kejatuhan semua akhbar harian di Malaysia, Kosmo!yang mula diterbitkan pada 31 Ogos 2004 muncul menjadi akhbar harian berbahasa Melayu No. 1 sekali gus mengatasi saingannya, Harian Metro.

Akhbar kompak itu menca­tatkan purata jumlah edaran sebanyak 187,967 naskhah sehari sepanjang Julai hingga Disember tahun lalu, berdasarkan perangkaan terkini yang dikeluarkan oleh Audit Bureau of Circulations (ABC).
Firma pengauditan antarabangsa itu menobatkan Kosmo! unggul pada kedudukan pertama mengatasi Ha­rian Metro yang hanya mencatat 179,231 naskhah diikuti Utusan Malaysia (154,776) dan Berita Harian (106,754).
Kosmo! yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan dilaporkan paling laris di Selangor dengan edaran harian 62,878 naskhah selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (31,400) serta Negeri Sembilan (11,287).
Dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 2004 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, jumlah edaran akhbar tersebut tidak meliputi Sabah dan Sarawak kerana hanya dua negeri berkenaan masih tiada Kosmo!.
Dalam pada itu, Mingguan Malaysia masih kekal lagi menjadi akhbar mingguan berbahasa Melayu No. 1 dengan edaran sebanyak 336,233 naskhah diikuti Metro Ahad (207,119), Kosmo! Ahad (205,520) danBH Ahad (109,811).
Akhbar diterbitkan Kumpulan Utusan tersebut direkodkan oleh ABC sebagai amat laris di semua negeri pada setiap hari Ahad kecuali Johor, Sabah dan Sarawak yang terus lagi dikuasai Metro Ahad terbitan Media Prima Berhad.
utusan1
Sementara itu, bagi kategori akhbar harian yang berbahasa Inggeris pula, The Starmencatatkan jumlah eda­ran tertinggi sebanyak 248,413 naskhah diikuti oleh edisi mingguannya iaitu Sunday Star (246,652 naskhah).
Menurut perangkaan ABC itu, lawannyaNew Sunday Times hanya menca­tatkan edaran sebanyak 64,850 naskhah, New Straits Times (62,113 naskhah), The Sunday Post (69,944 naskhah) dan The Borneo Post(65,854 naskhah).
Sin Chew pula mengatasi akhbar bahasa berbahasa Cina lain di negara ini dengan jumlah edaran tertinggi sebanyak 352,686 naskhah diikuti oleh saingannya, China Press (202,745 naskhah) dan Guang Ming(81,082 naskhah).
Secara keseluruhan, akhbar berbahasa Melayu mencatatkan jumlah edaran 1,487,411 naskhah setiap keluaran berbanding sebanyak 649,166 naskhah bagi harian bahasa Inggeris dan 636,513 naskhah untuk akhbar bahasa Cina.
Dalam pada itu, langganan akhbar versi secara elektronik pula menunjukkan Utusan Malaysia muncul harian berbahasa Melayu paling laris dengan 4,084 naskhah, diikutiBerita Harian (3,766) dan Harian Metro(1,743).
Angka tersebut masih kecil berbanding akhbar edisi elektronik berbahasa InggerisThe Star (105,645) dan New Straits Times(4,715) atau berbahasa Cina iaitu Sin Chew(55,291), Guang Ming (15,831) dan China Press (9,686).

0 comment... add one now