Kini Beg HoldAll terbesar di dunia dipamerkan di Amanjaya Mall mulai hari ini!


Beg


Beg HoldAll terbesar di dunia yang dihasilkan menggunakan 2,984 helai kemeja terpakai, kini dipamerkan di Amanjaya Mall, di sini, bermula hari ini sehingga 15 Mei ini.

Beg terbesar yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records dan Guinness World Records itu berukuran 7.62 meter panjang, 3.04 meter lebar dan 5.6 meter tinggi yang dihasilkan seramai 1,492 peserta, mampu memuatkan dua buah kereta MyVi di dalamnya.

Pengurus Pusat Latihan Kraftangan Epal Chye Gwek Beng yang juga wakil Persatuan Seni Jahitan Kraftangan, berkata, pameran berkenaan merupakan lokasi kedua terakhir sebelum bergerak ke Perlis, yang turut mempamerkan kira-kira 300 produk termasuklah hasil barangan kitar semula.

“Orang ramai yang ingin melihat dengan lebih dekat hasil seni yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia itu dijemput hadir ke pameran ini, bahkan mereka juga berpeluang mengikuti kelas jahitan secara percuma di sini.

“Bagi pengunjung individu yang berusia seawal tujuh tahun, boleh terus mengikuti kelas jahitan sepanjang pameran berlangsung manakala kumpulan yang terdiri antara 15 hingga 20 orang pula perlu membuat temu janji terlebih dahulu dengan menghubungi saya di talian 012-4053710,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sementara itu, Chye berkata selain beg HoldAll, pameran terbabit turut mengetengahkan hasil kraftangan masyarakat Orang Asli dari perkampungan Orang Asli di Grik, Perak, antaranya beg dan fail yang diperbuat daripada plastik beras.

“Kita bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja, menggalakkan Orang Asli menghasilkan produk daripada barangan kitar semula untuk dijual di pasaran yang mana secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan mereka.

“Pada pameran kali ini juga, kita membawa bersama produk seperti beg yang dihasilkan menggunakan ‘banner’ serta produk-produk hiasan rumah, dan kraftangan diperbuat daripada botol dan sebagainya,” katanya.

Chye berkata beliau berharap pameran terbabit akan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya kitar semula memandangkan ia bukan sahaja mengurangkan jumlah sampah tetapi juga berupaya menjana pendapatan hasil produk kraftangan daripada barangan kitar semula. – BERNAMA

0 comment... add one now