Kenapa rasa gatal selepas terkena gigitan nyamuk?

Kebanyakan dari kita apabila digigit serangga akan mengalami kegatalan. Serangga boleh terdiri daripada nyamuk, semut, pepijat dan sebagainya. Rasa gatal muncul sejurus selepas digigit serangga-serangga ini akibat dari sejumlah kecil bisa atau racun dari serangga tersebut masuk ke dalam lapisan kulit.
Rasa gatal tersebut tidaklah terlalu lama, kerana sistem badan mempunyai pertahanan untuk menangkis racun atau bisa yang dibawa akibat gigitan tersebut.
Dalam kes gigitan nyamuk, kenapa hanya nyamuk betina? (nyamuk yang menghisap darah hanyalah spesis nyamuk betina). Ini kerana, darah diperlukan oleh nyamuk betina untuk proses pembiakan melalui penghasilan telur. Dan ini semestinya tidak berlaku pada nyamuk jantan.
Nyamuk betina mencari pembuluh darah yang paling dekat dengan permukaan kulit, bagi memudahkannya untuk menghisap darah. Setelah menemuinya, nyamuk akan membenamkan ‘jarum’ di bahagian mulutnya. Bahagian ini dikenali sebagai ‘proboscis‘. Selepas itu, ia akan menghisap darah sehingga kenyang.
Rasa gatal yang muncul di kulit akibat gigitan tersebut sebenarnya berasal dari air liur nyamuk. Air liur nyamuk berfungsi sebagai ‘anticoagulant‘ (mencegah pembekuan darah) bagi melancarkan proses nyamuk menyedut darah dari pembuluh darah.
Antibodi tubuh akan mengesan air liur nyamuk sebagai gangguan dan saraf akan bertindakbalas menghantar isyarat tersebut ke otak. Otak akan mentafsirkan gangguan tersebut sebagai rasa gatal dan tidak selesa, disertai dengan kesan merah dan bengkak di kulit.
Rasa gatal ini akan hilang dalam masa yang singkat. Namun ia tetap memberi rasa yang tidak selesa sehingga ketika tidur pun, tangan masih mampu menggaru-garu rasa gatal tersebut.
Aktiviti menggaru sebenarnya akan menyebarkan air liur nyamuk ke kawasan lain. Inilah punca rasa gatal tersebar dan meluas di permukaan kulit.
Inilah punca sebenar rasa gatal nyamuk!
Kredit - majalahsains 

0 comment... add one now