Kenapa pasukan khas Filipina tidak hapuskan saja Abu Sayyaf? Dengar penjelasan dari komander Filipina

BILAKAH Abu Sayyaf akan dibom?” atau “Mengapa pasukan khas Filipina tidak menghapuskan saja kumpulan Abu Sayyaf?” adalah tindak balas biasa di Twitter atau Facebook apabila terdapat laporan penculikan di pantai timur Sabah.
Tangkap Abu Sayyaf Macam 'Tangkap Ikan'
Tangkap Abu Sayyaf Macam ‘Tangkap Ikan’
Pada awal tahun ini, beberapa bulan selepas warga Sarawak, Bernard Then dipancung oleh kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Jolo, saya bertemu dengan seorang komander tentera Filipina untuk merungkai persoalan ini.
Komander itu, bersama dengan lebih dari 10 orang-orangnya dan saya berborak sambil makan di sebuah restoran di Zamboanga City, kira-kira dua jam perjalanan dengan bot dari pulau Jolo, sebuah pulau bersaiz negeri Perlis.
“Kami cuba yang terbaik, tidak kiralah kekurangan apa pun yang kita ada, seperti kekurangan tentera,” kata komander itu yang tidak mahu namanya didedahkan.
“Pulau Jolo mungkin hanya sebuah kecil. Tetapi jika anda berada di kawasan itu, anda tidak boleh mengetahui segala-galanya.
“Ia adalah kawasan hutan. Ia bukan kawasan bandar di mana musuh-musuh berada tetap di lokasi, anda boleh mengawasi dan menyerang mereka, ” kata seorang anggota tentera 50-an.
“Di dalam hutan, anda tidak dapat mencari mereka kerana mereka sentiasa bergerak. Mereka tahu selok-belok kawasan itu dan mereka mempunyai sokongan penduduk. Tentera saya perlu mencari jalan untuk mengepung mereka. Ia seperti aktiviti menangkap ikan.”
“Di Malaysia, orang ramai akan bertanya mengapa tentera Filipina tidak melancarkan operasi untuk menyelamatkan tebusan Malaysia?,” saya bertanya kepada mereka.
“Masalahnya ialah, kita mempunyai kekuatan tetapi bilangannya adalah kecil,” katanya yang enggan memberi maklumat lanjut tentang kekuatan angkatan tentera dan marin di Jolo atas sebab-sebab keselamatan.
“Jika anda serang musuh, anda mesti mempunyai tiga kali kekuatan lelaki berbanding musuh anda. Ia bukan macam dalam filem di mana kumpulan kecil lelaki boleh menewaskan beratus-ratus orang jahat.”
Tambahnya: “Musuh-musuh anda mempunyai kelebihan dan berada dalam kedudukan yang lebih baik kerana mereka tahu kawasan itu. Jika tidak mempunyai kekuatan mencukupi, kita akan lihat lebih ramai yang menjadi mangsa daripada pihak kerajaan.”
“Rakyat Malaysia akan bertanya, ‘Mengapa Filipina tak menggunakan pasukan khas mereka untuk menghapuskan Abu Sayyaf?,” soal saya lagi.
“Ini bukan tentang pasukan khas. Terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan.
“Saya berikan satu contoh. Kita tidak mempunyai keupayaan untuk mengesan musuh. Kami mempunyai ‘drone’ dan peralatan lain. Sekarang kita melakukannya secara manual,” katanya.
“Rakyat Malaysia bertanya, kenapa tentera Filipina tidak bom sahaja Abu Sayyaf?,” saya bertanya lagi.
“Itu tidak mustahil. Saya juga mahu menghapuskan mereka. Tetapi kita mempunyai undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Kami mahukan pertarungan yang sah dengan Abu Sayyaf,” katanya.
“Kita juga tidak boleh membangkitkan kemarahan penduduk tempatan hanya untuk mendapatkan Abu Sayyaf. Kita menghadapi risiko akan wujudnya kumpulan lain yang akan bangkit untuk menjadi Abu Sayyaf.”
“Dalam tempoh lima tahun yang lalu, adakah tentera Filipina menyelamatkan sebarang tebusan yang diculik oleh Abu Sayyaf di Jolo?,” tanya saya.
“Kami telah menyelamatkan empat tebusan. Yang terkini adalah dua pengawal pantai Filipina,” kata komander itu.
“Tebusan lain yang kami selamatkan adalah pemerhati burung Switzerland (yang diculik di Pulau Tawi).
“Hasil daripada operasi ketenteraan ke atas Abu Sayyaf, kegiatan penculik menjadi tidak teratur dan tebusan Switzerland mempunyai peluang untuk melarikan diri.”
“Apa nasihat anda kepada rakyat Malaysia apabila diculik dan dibawa ke Jolo?,” saya bertanya.
“Pendirian saya hanyalah, jangan bayar wang tebusan, kerana ia akan menambah keupayaan mereka. Mereka hanya akan membeli senjata dan akan mengulangi penculikan lain,” katanya.
“Tetapi kita tidak boleh buat apa-apa jika saudara-mara tetap membayar wang tebusan.”
Komander itu berkata bahawa semakin ramai orang muda menjadi tentera bawahan Abu Sayyaf.
Beliau menjelaskan bahawa Abu Sayyaf menjanjikan 30,000 hingga 35,000 peso (kira-kira RM3,000 kepada RM3,500) sebulan dan senjata api kepada anak-anak muda yang tidak bersekolah, terutama di kawasan pedalaman untuk menyertai kumpulan itu.
Kebanyakan mereka, disebabkan tidak berpengalaman telah terbunuh dalam operasi ketenteraan.
Menurut komander itu lagi, Abu Sayyaf turut menawarkan 40,000 pesos (RM4,000) sebulan dan senjata api kepada golongan remaja.
“Remaja ini akhirnya sedar bahawa mereka telah menyusahkan diri sendiri dengan kehidupan yang tidak tetap, dan kurang makanan dan tidur (kerana pengeboman). Banyak kali juga mereka tidak dibayar.
“Apabila mereka menyedari bahawa kehidupan sebagai kumpulan Abu Sayyaf adalah sukar, mereka akan cuba untuk melarikan diri. Ada yang telah pergi ke Sabah untuk mencari tempat yang selamat kerana jika Abu Sayyaf berjumpa mereka, mereka akan dibunuh,” katanya.
“Adakah mereka ini dilatih?,” saya bertanya.
“Mereka sebenarnya tidak dilatih kerana mereka sudah tahu bagaimana untuk menggunakan senjata api. Mereka bekerja menjaga kawasan atau tebusan.
“Tidak ada masa untuk melatih mereka kerana kita sentiasa memburu mereka,” katanya.
“Sejauh mana terlatihnya anggota bawahan ini?,” tanya saya.
“Mereka tidak tahu apa-apa. Selalunya, merekalah orang-orang yang terbunuh dalam operasi,” katanya.
“Bagaimana pula dengan komander Abu Sayyaf?,” tanya saya lagi.
“Mereka tidak dilatih sebagai pejuang. Tapi mereka mempunyai pengalaman bertempur.
“Mereka mungkin tak tahu bagaimana untuk memasang bom tetapi melalui pengalaman, mereka tahu bagaimana untuk berdepan dengan tentera dan marin. Mereka lebih mahir melarikan atau melepaskan diri daripada tentera,” katanya.
Komander itu menambah: “Tidak mudah untuk melawan Abu Sayyaf. Semuanya bergantung kepada nasib atau kebetulan, untuk kita dapat menangkap mereka dalam keadaan tidak bersedia.
“Dan ia sangat jarang berlaku.”

0 comment... add one now