Kapak purba Australia 50,000 tahun dipercayai tertua di dunia

Kapak Australia

SYDNEY – Sebiji batu purba ditemui di Australia dipercayai sebagai kapak tertua di dunia yang dianggarkan dicipta sejurus manusia pertama mendarat di benua tersebut kira-kira 50,000 tahun lalu, lapor media tempatan pada Rabu.

Batu sebesar saiz ibu jari manusia dewasa itu dijumpai di bahagian utara negeri Australia Barat iaitu di wilayah kurang penduduk, Kimberley yang terletak hampir 3,000 kilometer dari arah tenggara ibu negara, Canberra.
“Tanpa ragu, kapak ini memang dicipta menggunakan teknologi paling purba dan amat nadir sekali gus tertua di dunia,” kata penyelidik batu tersebut di Universiti Sydney, Peter Hiscock kepada agensi berita antarabangsa AFP.
Ia ditemui sekitar 1990-an namun gagal dikenal pasti ketika itu sehinggalah saintis arkeologi mula mengguna pakai teknologi terbaharu pada masa ini yang kemudian mengesahkan batu tersebut sebenarnya ialah sejenis kapak.
axe1
Penyelidik batu purba di Universiti Sydney, Peter Hiscock.
“Sekali imbas, saiznya relatif agak kecil, hanya kira-kira lebih satu sentimeter panjang, tetapi di hujungnya diasah tajam hasil buatan tangan manusia sendiri,” kata Hiscock yang menggunakan mikroskop digital untuk ujian analisis.
Serpihak ini dianggarkan berusia antara 46,000 sehingga 49,000 tahun iaitu zaman manusia terawal tiba di tanah besar Australia kira-kira 50,000 tahun dahulu. Penemuan itu juga dilaporkan oleh jurnal Australian Archaeology.
Hiscock berkata, kapak tersebut bukan dibuat di Afrika atau Timur Tengah, sekali gus menunjukkan bahawa manusia yang berhijrah keluar dari dua kawasan itu tidak mencipta kapak sehinggalah tiba di benua Australia.
“Saya fikir kapak purba ini memberitahu kita ia direka peneroka terawal, moyang kaum pribumi Aboriginal dan membuktikan manusia primitif tersebut amat bagus mencipta peralatan harian diperlukan,” kata beliau lagi.
axe2
Prof. Sue O’Connor dari Australian National University (ANU) yang mula menjumpai kapak itu pada 1990-an bersetuju, ia merupakan penemuan alat perkakasan terawal yang boleh dipegang dengan tangan di dunia.
“Setakat ini belum ada lagi kapak sebegini dijumpai di seluruh dunia, malah yang paling awal direkodkan iaitu di Jepun pun berusia 35,000 tahun dan kapak purba di banyak negara cuma berumur 10,000 tahun,” kata wanita ini.
Beliau menjelaskan, kapak tersebut ditemui dalam satu ekspedisi arkeologi di kawasan terpencil Carpenter’s Gap, Windjana Gorge National Park iaitu dipercayai tempat kumpulan manusia pertama mendarat di Australia.
Serpihan tersebut dipercayai datang daripada bahagian hulu kapak sebelum terbelah dua dan pensyarah ANU itu menjelaskan, ia mungkin diasah dengan pasir lembut untuk menajamkannya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

0 comment... add one now