Jijik! Viral aksi 'mandrem' peniaga ludah isi durian kantoi!


VIDEO seorang peniaga melakukan aksi jijik dengan meludah isi durian, sebelum dijual kepada orang ramai telah mencetuskan amarah dan rasa loya netizen di media sosial.
Menerusi rakaman berdurasi 1 minit 48 saat dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, ia memaparkan lelaki terbabit meludah ke dalam plastik bungkusan styrofoam pek buah itu, agar ia kelihatan segar di mata pengguna.
Tolong jangan beli durian di Petron Taman Sri Gombak. Rakaman dibuat sebentar tadi, jam 3.30 petang. Sungguh kurang ajar!” katanya.
Difahamkan, lokasi kejadian itu didakwa berlaku di Taman Sri Gombak, berhampiran sebuah stesen minyak Petron.
Netizen tidak menafikan bahawa lelaki terbabit berbuat demikian, mungkin mahu ‘melariskan’ jualan duriannya kepada orang ramai sehingga tergamak menggunakan taktik kotor itu.
Sementara itu, pihak polis telah menerima aduan mengenai kejadian itu dan akan memangil peniaga durian tersebut untuk memberi keterangan.
Portal Harian Metro melaporkan, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata tindakan akan diambil jika ada kesalahan yang dilakukannya.
Kami akan memanggil peniaga berkenaan dan akan siasat perkara ini. Jika didapati melakukan kesalahan, tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.
Setakat ini tiada laporan polis dibuat dan tiada penahanan. Unit peronda sudah memantau lokasi malam tadi tetapi peniaga berkenaan sudah tiada,” katanya.
Seorang lelaki yang enggan dikenali mengatakan gerai berkenaan sudah beroperasi lebih 10 tahun di situ, dan berlaku sedikit kekecohan, kira-kira 9 malam tadi.
Selepas rakaman itu viral petang tadi (semalam), orang ramai datang dan marah-marah. Mereka pun berkemas bawa semua barang jualan masuk ke dalam lori,” maklumnya.
Selain itu, pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Gombak turut kelihatan membuat tinjauan di kawasan itu.-MYNEWSHUB.CC

0 comment... add one now