Jakim sahkan mi segera Samyang dari Korea halal dimakan!

Jakim sahkan Ramyeon Samyang halal


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan mi segera jenama Samyang dari Korea itu halal.
Melalui Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal Jakim, tidak mengandungi bahan meragukan seperti didakwa sebelum ini.
“Berdasarkan makluman siasatan, Korea Muslim Federation (KMF) terhadap produk mi segera itu, didapati bahawa produk tersebut tiada mengandungi bahan yang meragukan dan merupakan pemegang sijil (KMF) halal yang sah sehingga kini.
“Pihak syarikat patuh dan komited terhadap piawaian prosedur yang telah ditetapkan oleh KMF dan pemantauan secara berkala turut dilaksanakan terhadap semua industri di Korea yang diberikan sijil halal oleh KMF,” katanya dalam satu kemas kini status di Facebook, sebentar tadi.
Bulan lalu, Jakim mengesahkan siasatan  sedang dijalankan terhadap mi segera itu yang diragui status halalnya.
Sebelumnya, paparan skrin yang menunjukkan perbualan tentang status halal mi segera dari Korea itu menjadi viral kerana didakwa mengandungi unsur syubhah gara-gara menggunakan mesin sama dengan produk yang mengandungi unsur babi.
Dalam pada itu, Jakim menasihatkan pengguna agar tidak menyebarkan maklumat palsu berkenaan mi segera itu.
“Sila semak senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf di laman sesawang www.halal.gov.my atau melalui aplikasi telefon pintar MyJakim,” katanya.
Sebelum ini, mi segera Samyang tersebut menjadi popular akibat ramai yang menyahut cabaran untuk mencuba tahap kepedasannya.

0 comment... add one now