foto kanak-kanak memegang sejata api mainan serta berpakaian seperti tentera Daesh menjadi viral

Tadika Hidayah Bestari

KUALA LUMPUR – Sebuah tadika di pinggir ibu negara dipantau pihak polis susulan kegiatan berunsur ala militan Daesh setelah ia menjadi perhatian ramai netizen apabila memuat naik satu gambar sensasi menerusi media sosial.

Menurut laporan akhbar The Malay Mail, foto-foto menunjukkan sekumpulan kanak-kanak memegang sejata api mainan serta berpakaian seperti tentera menjadi viral namun pada masa sama mencetuskan kebimbangan ramai.

Tadika Hidayah Bestari, yang terletak di Bandar Sri Damansara, sudah mula dipantau pihak polis sejak tahun lalu, lapor akhbar tersebut yang memetik Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.
Beliau malah mengesahkan perkara tersebut ketika ditanya akhbar berkenaan sebagai mengulas kesahihan gambar-gambar yang dikongsi oleh seorang peguam hanya dikenali Siti Kassim, mulai tersebar di laman sosial tempatan.
“Kami menyiasat sekolah itu sejak tahun lalu. Jika kami dapat kumpul bukti mencukupi yang menunjukkan ideologi-ideologi (militan) sedemikian diajar kepada kanak-kanak, kami akan bertindak,” kata Mohamad Fuzi.
Beliau menambah bahawa tadika-tadika di seluruh Malaysia turut dipantau bagi memastikan institusi prasekolah itu tidak dijadikan sebagai pusat markas latihan tentera kanak-kanak, lapor portal tempatanFree Malaysia Today.
Siasatan mendedahkan bahawa beberapa guru tadika, salah seorang daripada mereka bekerja di tadika berkenaan dan yang dipaparkan dalam foto tersebut, bertindak memuat naik gambar-gambar itu ke laman Instagram mereka.
Salah satu daripada gambar berkenaan pula menunjukkan mereka kelihatan memakai jubah dan tudung serta memegang panji menyerupai bendera rasmi Palestin, menurut laman tersebut lagi.
tadika1
Menurut Siti lagi, guru terbabit pernah menuntut di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) di Terengganu dan institusi tersebut didakwa konon cawangan kumpulan militan serantau Jemaah Islamiyah.
Setelah gambar-gambar itu tersebar, para pengguna media sosial menyuarakan kebimbangan mereka dan menggesa pihak berkuasa menyiasat kurikulum yang diajar di tadika berkenaan, lapor agensi beritaMediaCorp Singapura.
Namun, Pengetua Tadika Hidaya Bestari, yang enggan mendedahkan namanya mempertahankan aksi murid-murid di dalam gambar itu sambil berkata mereka hanya memakai pakaian tentera dan memegang senjata api mainan.
Kebetulan mereka mengambil bahagian dalam lakonan tentang konflik Israel-Palestin. Lakonan itu diadakan pada 2014 lalu dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.
Organisasi itu memang dikenali mengumpulkan dana bagi membantu mangsa perang di Palestin dan Syria. Beliau menambah bahawa guru dalam gambar dimuat naik ke Instagram itu sudah berhenti kerja sejak Februari lalu.
Bagaimanapun menurut laman tadika tersebut, yang kini didapati kurang aktif, institusi prasekolah persendrian itu mengajar pelbagai subjek Islam sebagai “cara kehidupan” dan menyifatkannya sebagai “sekolah aliran Islam”.
Pada Januari lalu, Mohamad Fuzi berkata polis berjaya menumpaskan usaha menubuhkan sebuah pusat latihan kumpulan pengganas kanak-kanak di negara ini oleh kumpulan militan Daesh. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

0 comment... add one now