Dr. Vida mahu miliki plat 'F1' untuk Ferrari miliknya



Pengasas syarikat produk kecantikan dan kesihatan, Vida Beauty Datuk Seri Dr Hasmiza Othman akan memastikan kereta Ferrari yang bakal dimilikinya diserikan dengan nombor pendaftaran F1.
Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida berkata beliau turut mempunyai satu lagi pilihan iaitu nombor plat V1 sekiranya bidaannya yang pertama gagal.
"Nombor plat F1 yang juga singkatan bagi acara permotoran berprestij dunia, Formula Satu menjadi keutamaan saya. Ia cukup unik dan ada makna tersendiri.
"Kebetulan pengumuman mengenai nombor pendaftaran dengan abjad F hadir di saat saya memang berhasrat mahu memiliki sebuah kereta sporty iaitu model Ferrari dalam masa terdekat," katanya kepada mStar Online.
Beliau berkata demikian mengenai kenderaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang akan menggunakan nombor pendaftaran baharu bermula dengan abjad ‘F’ dan 'V' mulai 1 Jun ini.
Justeru, Vida berkata beliau tidak sabar untuk menunggu proses bidaan dibuka bagi memastikan hasratnya untuk memiliki nombor plat itu menjadi kenyataan.
"Saya amat teruja dan seronok. Sudah pasti F1 akan jadi nombor panas, orang ramai pasti berlumba-lumba untuk membidanya," katanya.
Ditanya mengapa beliau memilih 'F1', Vida berkata F merujuk kepada Ferrari dan nombor 1 membawa maksud beliau sentiasa mahu menjadi orang pertama dalam mencetuskan sesuatu.
"Jika sebelum ini nombor enam sentiasa dekat dengan diri saya tetapi kali ini nombor satu jadi pilihan utama. Ia memberi makna yang cukup besar kepada diri saya," katanya.
Vida mempunyai beberapa koleksi kereta mewah antaranya, Bentley dan Lamborgini Aventador berwarna jingga dengan nombor pendaftaran DV166.

0 comment... add one now