Biadap! Polis UK mohon maaf video latihan antipengganas dilaung 'Allahu Akbar'

Seorang ‘pengganas’ melaungkan ‘Allahu akbar’ beberapa kali di Trafford Centre (foto), Manchester sebelum meletupkan bom dalam latihan antikeganasan. LONDON, 12 Mei — Polis di United Kingdom terpaksa memohon maaf secara terbuka selepas dianggap mempersenda Islam dalam latihan menghadapi ancaman pengganas di mana "Allahu akhbar" dilaungkan beberapa kali.  
Seorang lelaki yang berlakon pengganas melaungkan perkataan suci umat Islam itu -- bermaksud “Allah maha besar” dalam bahasa Arab -- di Trafford Centre, Manchester sebelum meletupkan bom, lapor portal The Independent.
Beratus-ratus sukarelawan dalam latihan itu kemudian bertempiaran lari menyelamatkan diri di pusat beli-belah terkenal itu.
Kenyataan maaf dibuat selepas pemimpin masyarakat dan aktivis mengecam tindakan polis itu yang dianggap memperalatkan prejudis terhadap orang Islam.
Pegawai polis Manchester, Gary Shewan, mengakui laungan tersebut "tidak boleh diterima" dan memohon maaf kepada mereka yang tersinggung.
Tambahnya, latihan itu berdasarkan pengalaman serangan kumpulan pengganas Negara Islam (IS atau Daesh) sebelum ini seperti disediakan oleh penulis senarionya.
"Namun, selepas memikirkan kembali, kami sedar tindakan menggunakan ungkapan agama ini, yang dikaitkan dengan amalan orang Islam, tidak boleh diterima," kata konstabel itu.


Pengkritik tindakan itu termasuklah Dr Erinma Bell, yang mendapat pingat MBE daripada Ratu Elizabeth II atas kempen anti-senjata di Manchester.
"Kita kena lari daripada stereotaip jika kita mahu betul-betul mengambil iktibar," katanya di Twitter. "Pengganas boleh jadi sesiapa sahaja."
Kumpulan anti-Islamofobia Community Safety Forum menyifatkan ungkapan "Allahu akbar" itu menyakitkan hati, dengan menambah ia tidak pula menjadikan serangan olok-olok lebih nyata.
Namun ramai juga pengguna Internet mempertahankan tindakan polis, menyatakan ia dilakonkan berdasarkan serangan pengganas di Brussels, Belgium dan Paris, Perancis.
Latihan itu, yang dinamakan Exercise Winchester Accord, dirancang Disember lalu. Ia sebahagian program nasional yang pernah dibuat di London, Glasgow dan Essex.
Biadap! Polis UK mohon maaf video latihan antipengganas dilaung 'Allahu Akbar'

0 comment... add one now