Benarkah permainan video beri masalah kepada remaja?


Adakah permainan video (video game) yang berunsur ganas boleh mempengaruhi sikap dan perangai seseorang? Jom kita tengok dulu beberapa kajian dibuat.
Gentile & Anderson pada 2003 menyebut permainan video boleh meningkatkan sikap agresif dan tindakan ganas yang berterusan. Namun, 12 tahun kemudian terdapat juga kajian yang tidak bersetuju dengan Gentile & Anderson.
Pada 2015, Andrew Przybylski, seorang pakar psikologi di Institut Internet Oxford, Universiti Oxford membuat kajian ke atas 217 remaja yang merangkumi 110 remaja lelaki dan 107 remaja perempuan. Mereka dinilai pada tabiat bermain permainan video dan personaliti.
Pengkaji dapati 22 daripada remaja itu mengambil masa lebih tiga jam sehari bermain ‚game‘ mempunyai masalah akademik, masalah sikap dan perangai.
Disebabkan magnitud yang kecil maka Przybylski membuat kesimpulan permainan video bukanlah faktor utama mempengaruhi personaliti seseorang. Soal genre permainan video tidak menjadi isu.
Terlebih gula & terlebih garam
Saya berpendapat bukanlah soal permainan video semata-mata yang boleh mempengaruhi sikap seseorang kerana ia bergantung kepada ‚pengurusan diri‘. Jika terlebih dan melampau, sememangnya permainan video akan membawa kemudaratan.
Contoh jika kita terlebih gula akibatnya ialah kencing manis. Jika terlebih garam, akibatnya darah tinggi. Tapi adakah kita tidak perlukan gula dan garam? Kita perlukan gula dan garam namun tidak boleh dalam jumlah berlebihan dan terlampau. Begitu juga permainan video, jika terlebih dan melampau memberi tumpuan kepada permainan video tidak kira apa jua genre, tidak mustahil ia mampu mempengaruhi personaliti kita apatah lagi remaja!
Tetapi jika tahu bila nak main dan tahu bila nak berhenti, maka permainan video tidak menjadi masalah.
Salah remaja?
Sebelum kita menuding jari kepada remaja kerana asyik main game, mari kita teliti beberapa faedah yang sering remaja dapat apabila bermain game.
Pertama, mereka akan mendapat PERHATIAN melalui game online oleh rakan gamers. Kedua, mereka mendapat PENGHARGAAN melalui markah tinggi, malah setiap kali mereka berjaya mencapai satu misi, perisian game itu akan memuji pencapaian. Ketiga, gamers seolah diberi KEPERCAYAAN untuk menyempurnakan misi di dalam permainan video.
Justeru, sebagai ibu bapa, guru, pihak berkuasa dan sebagainya, sebelum kita asyik menyalahkan remaja, mari kita tanya diri kita, adakah kita sudah memberi perkara berikut kepada anak muda kita?
Jika tidak, apa salahnya kita bertindak sekarang? Ia jauh lebih baik daripada asyik berkata, ‘Remaja sekarang bermasalah.’

0 comment... add one now