Barisan Nasional menang besar 72 kerusi dalam PRN Sarawak ke-11

Adenan Satem

KUCHING – Barisan Nasional (BN) Sarawak dilaporkan meraih kemenangan besar dengan meraih 72 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 sekali gus mencipta kejutan terbaik dalam sejarah.

Berdasarkan tinjauan secara umum, parti pembangkang hanya menang 10 kerusi dengan DAP cuma menang tujuh kerusi, kurang lima kerusi dan sekutunya, PKR kekal status quo di tiga kerusi kubu kuat mereka.
DAP bertanding di 31 kerusi berbanding 15 kerusi ketika PRN ke-10 pada 2011 lalu manakala PKR bertanding di 40 kerusi berbanding 49 kerusi pada PRN sebelumnya. Kedua-duanya malah bertindih calon di enam kerusi sama.
BN semasa hari penamaan calon pada 25 April lalu telah pun melakar sejarah apabila menang dua kerusi tanpa bertanding setelah dua calon PKR masing-masing tidak muncul di kerusi Bukit Kota dan Bukit Sari.
Dewan Undangan Negeri Sarawak mempunyai 82 kerusi termasuk tambahan 11 kerusi baharu susulan proses persempadanan semula kawasan sedia ada yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun lalu.
Terdahulu BN disahkan oleh pihak SPR secara rasmi menang 62 kerusi melepasi majoriti dua pertiga setakat pukul 9.15 malam Sabtu untuk terus menerajui kerajaan Sarawak bagi penggal ke-11 berturut-turut sehingga 2021.
Gabungan empat parti komponen selain sedozen calon langsung dilaporkan mendahului untuk melakarkan kemenangan besar di bawah Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem yang juga Pengerusi BN Sarawak.
Beliau yang menang di kerusi Tanjung Datu mengetuai jentera PRN untuk BN buat pertama kali selepas memegang tampuk kepimpinan negeri, dua tahun lepas daripada Tun Abdul Taib Mahmud. – Mynewshub.cc/HAA

0 comment... add one now