Awie Wings tahu saya dibuli, kata Yazit Search!

yazit_dialisis_1

KUALA LUMPUR — Pemain dram Yazit Ahmad gembira mendapat sokongan Awie dalam isu bantuan untuk rawatannya sewaktu beliau menuduh Search mengabaikannya.

Yazit menjangka lebih banyak pihak bakal menyebelahinya selepas Awie, vokalis Wings, menggesa Amy Search membantu rakan kumpulannya sebagai “saham akhirat.”

“Maksud Awie itu betul. Dia tidak berniat apa-apa. Dia sudah lama tengok saya begini, hanya berdiam diri saja. Dia sudah nampak satu perkara seperti saya dibuli.

“Itu suara hati anggota-anggota Wings. Mereka lama mengenali saya. Ahli Wings memberi satu respons yang bagus sebagai kawan-kawan yang baik. Mereka sentiasa menghormati saya.

“Ramai lagi yang akan beri sokongan dalam sehari dua ini apabila mereka tengok Wings sudah umum begitu, mungkin banyak band lain yang akan menyokong,” katanya.

Pengasas kumpulan Search itu ditemui ProjekMMO ketika sedang menjalani rawatan dialisis di Setapak di sini pagi semalam.

Awie, nama popular Ahmad Azhar Othman, menasihat Amy agar membantu Yazit yang sakit bertahun-tahun.

“Kalau saya dalam kumpulan itu, saya akan korbankan sedikit masa untuk menolong. Ini saham akhirat kita. Fikir dekat situ saja,” katanya kepada ProjekMMO.

yazit_dialisisPemain drum kumpulan Search, Yazit Ahmad, yang sakit sejak enam tahun lalu menerima rawatan dialisis di Setapak, Kuala Lumpur.

Namun, menjawab gesaan ini, Amy menganggap Awie tidak mendapat gambaran sebenar masalah yang berlaku antara beliau, Search dan Yazit.

“Saya tidak salahkan dia (Awie) kerana dia mungkin dengar dari sebelah pihak sahaja,” kata Amy, nama glamor Suhaimi Abdul Rahman, kelmarin.

Mengulas pembatalan konsert ulang tahun ke-35 Search yang sepatutnya dijadual Ogos ini, Yazit berkata dirinya bukan punca kegagalan ia diadakan seperti didakwa kumpulan itu.

“Bagi saya, mereka hanya hendak menutup kesalahan yang mereka sudah rancang.

“Kalau buat perkara betul, kenapa nama saya disingkirkan dalam perjanjian persefahaman (MOU) dan cek kepada empat nama [sahaja].

“Kalau mereka menuduh kerana saya kontrak itu dibatalkan, saya cabar mereka ke balai polis buat laporan dan saya akan dedah perkara sebenarnya.

“Saya masih simpan perkara ini kerana saya hormati peguam,” katanya.

Nasir, pemain bes Search, pada sidang media bersama Amy minggu lepas mendakwa penganjur AFJets menjadikan isu MOU dan pertikaian Yazit sebagai alasan untuk tidak meneruskan konsert.

“Mereka cuba mencari jalan keluar agaknya. Oleh sebab itu, isu MOU dan Yazit dijadikan satu jalan keluar untuk menamatkan benda ini,” katanya.

AmySearchMengumumkan pembatalan dengan penganjur AFJets, vokalis Amy Search berkata konsert ulang tahun ke-35 pada 30 Ogos ini masih boleh diteruskan jika ada penganjur lain berminat. — Foto oleh Yusof Mat Isa

Yazit juga menggesa Amy agar berhenti memperkecil dirinya kerana sepanjang Search ditubuhkan ahli-ahli lain banyak bersabar dengan kerenahnya.

Tambahnya, tidak wajar Amy mengungkit bayaran RM42,000, selain RM7,000 wang baju T, yang diterimanya semasa konsert di Istana Budaya pada 2014.

“Jangan cakaplah menyanyi 40 jam. Sebelum ini, dia berlatih sehari sebelum konsert tetapi kami berlatih tiga minggu sebelum itu.

“Dia tidak datang latihan, bila konsert pula, potong lagu itu dan ini. Suka hati dia saja. Kami berlatih setiap hari dari pukul 9 hingga 1 pagi, dia satu hari lagi nak konsert, baru dia timbul.

“Dia sibuk dengan persembahan solo, lari sana, lari sini. Semasa Amy tidak ada, hari-hari kami berlatih, siapa menyanyi? Kami semua menanggung bahagian dia,” katanya.

Amy sebelumnya berkata Yazit harus bersyukur masih dapat menjana pendapatan hasil kerja keras ahli-ahli lain Search.

“Masa konsert di Istana Budaya empat malam, dia (Yazit) main empat lagu, dia di atas pentas setengah jam, saya dua jam setengah, saya nyanyi macam hendak mati,” katanya.

Krisis Yazit dan Search berlarutan sejak pemain dram itu membuat aduan polis awal bulan ini, mendakwa kumpulan itu pecah amanah wang pendahuluan konsert.

Search menafikannya dan mengugut untuk mengambil tindakan terhadap Yazit. – MalayMail

0 comment... add one now