Apakah maksud 'Ooo-Haa' dan 'You-You'? Lihat apa Ketua Menteri Sarawak kata...


Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menerangkan dasar-dasar kerajaan negeri semasa merasmikan Program Sejiwa Senada Peringkat Bahagian Sarikei hari ini. - Foto BERNAMA













Ungkapan ‘Ooo-Haa dan ‘You-You’ adalah sinomin dengan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem tetapi tiada siapa pernah mencari asal usul frasa pemikat itu sehingga mendengar daripada mulut si pemilik itu sendiri.

Buat pertama kali, Adenan mendedahkan bahawa inspirasi di sebalik kata-kata hikmah itu adalah disebabkan asuhannya semasa membesar dalam kalangan pelbagai kaum di Sarawak.

Bagi ‘Ooo-Haa’, beliau menjelaskan bahawa secara longgar dalam bahasa Iban bermaksud ‘Datai situk aku nak berjako’ atau dalam bahasa Inggeris ‘Sila datang ke sini, saya ingin bercakap dengan anda’.

Tetapi pemimpin popular itu tampil dengan tafsiran sendiri dengan menegaskan bahawa bagi dirinya ‘Ooo-Haa’ bermaksud ‘Saya Sayang Sarawak’.

Adenan, yang lebih gemar berpenampilan bersahaja dan dipanggil Ketua Menteri Adenan dalam majlis rasmi, percaya keunikan ungkapan itu telah menyatupadukan rakyat Sarawak tanpa mengira usia, gender, bangsa dan agama.

Adenan mengupas maksud ungkapan itu pada majlis jamuan malam bersama Ketua Menteri dengan calon langsung Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Pujut, Datuk Hii King Chiong, malam tadi.

Bagi frasa ‘You-You’, beliau berkata ia telah dilihamkan daripada kenangan manis zaman lampau apabila pasangan kekasih berhajat keluar bersama.

Tanpa menjelaskan secara terperinci, beliau berkata apabila seseorang menyebut perkataan ‘You-You’, maka ia secara automatik membawa maksud keluar bersama.

Peminat setia Arsenal dan mendiang penyanyi Elvis Presley, pemimpin berusia 72 tahun itu memberi nama samaran ‘Datuk Elvis’ kepada Hii kerana ahli politik itu mempunyai persamaan potongan jambang yang tebal dengan penyanyi itu.

Adenan, yang sentiasa memulakan majlis dengan mendendangkan lagu Cliff Richard, ‘The Young Ones’ dan balada pop Elvis ‘Can’t Help Falling In Love With You’, bagaimanapun secara berseloroh meragui kebolehan Hii dalam nyanyian. – BERNAMA

0 comment... add one now