6 Filem genre seram tempatan terbaik tahun 2015


Yang mana satu menjadi filem terbaik seram anda?

Sepanjang tahun 2015 menyaksikan penonton-penonton filem tempatan disajikan dengan pelbagai jenis filem-filem dari pelbagai genre, dan di antara genre-genre filem yang ditawarkan pada tahun ini, filem seram masih lagi menjadi pilihan para penonton tempatan.

Oleh itu tidak hairanlah pembikin filem tempatan terus-menerus menghasil pelbagai filem seram dengan jalan cerita yang berbeza. Ada yang menarik dan tidak kurangnya yang hambar.

Walaupun sambutan terhadap filem bergenre seram ini masih lagi mempunyai peminatnya tersendiri, namun nampaknya sambutan terhadap filem ini di pawagam-pawagam dilihat sedikit menurun berbanding tahun terdahulu.

Perkara ini disumbang oleh keadaan industri perfileman yang dilihat tidak stabil yang mana mungkin dipengaruhi oleh keadaan ekonomi negara sekarang ini yang berada dalam krisis, termasuklah peningkatan kos sara diri yang mendadak.

Oleh itu, kali ini saya ingin menyenaraikan beberapa filem seram tempatan yang terbaik sepanjang tahun 2015 ini. 

Villa Nabila
Selepas tersenarai dalam artikel Filem tempatan terbaik tahun 2015 baru-baru ini, filem seram "Villa Nabila" arahan pengarah muda Syafiq Yusof ini sekali lagi tersenarai dalam filem seram terbaik tahun ini pula. Seperti yang pembaca semua sudah sedia maklum, filem yang diangkat dari kisah sebenar ini menceritakan pengalaman beberapa pekerja kontrak yang dalam proses meruntuhkan kediaman tersebut. Bagaimanapun, pelbagai perkara aneh dan menyeramkan berlaku sepanjang proses itu berlaku.

Ternyata taruhan Syafiq ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton yang mana mungkin dibantu oleh publisiti selepas kisah seorang remaja hilang di Villa Nabila menjadi tumpuan media-media tempatan. Bagaimanapun bagi pandangan penulis, filem lakonan Pekin Ibrahim, Tasha Shamsir ini digarap dengan baik, sekali gus melayakkan filem ini untuk berada di dalam senarai kali ini.
Puaka Balai Gombak
Tahun ini juga menyaksikan banyak filem-filem seram menggunakan konsep 'found footage' dan filem "Puaka Balai Gombak" arahan Wan Mohd Hafiz Wan Hussein mengikut konsep yang sama seperti filem Hollywood "Paranormal Activity". Ia mengisahkan tentang sekumpulan remaja yang gemar melakukan aktiviti paranormal di tempat-tempat mistik untuk mempertikaikan kewujudan makhluk halus. Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku ketika mereka cuba merungkai misteri yang ada di dalam sebuah balai polis lama.

Walaupun filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon baru seperti Hazwan As'ari, Shukri Mohd Tahir, Farhaziq dan beberapa lagi, namun lakonan mereka nyata memberi kesan kepada penonton. Filem bajet kecil ini mempunyai jalan ceritanya tersendiri dan berjaya menarik penonton terutamanya bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur terutamanya di Gombak.
Gudang Kubur
Filem "Gudang Kubur" arahan Eyra Rahman ini mengisahkan tentang pasangan suami isteri yang membeli sebuah gudang untuk perniagaan mereka tanpa menyedari bahawa gudang tersebut didiami oleh 'sesuatu' yang tidak senang dengan kehadiran mereka. Mereka kemudiannya mula diganggu pelbagai kejadian aneh dan pelik sehingga menyebabkan rumah tangga mereka retak.

Jarang sekali kita melihat pelakon hebat seperti Faisal Hussein berlakon dalam filem bergenre seram, dan apabila dia menerima tawaran berlakon ini pastinya kerana jalan cerita yang kuat. Bergandingan dengan Nora Danish dan dibantu pelakon lain seperti Atikah Suhaime, Along Eyzendy, Pablo Amirul dan ramai lagi, filem ini mendapat pujian daripada pengkritik filem dan penonton.
Gamatisme
Filem ini mengisahkan tentang seorang pelajar perempuan yang mahu memulakan hidup baru selepas satu peristiwa hidup berlaku kepadanya. Bagaimanapun kehidupan baru yang tidak seperti yang diharapkan apabila dia kerap terlihat kelibat seorang wanita berbaju putih. Dia yang tahu itu bukan manusia mula berasa takut dan cuba menghilangkan rasa takutnya itu dengan berkawan dengan rakan-rakan di universitinya. Malangnya, lama-kelamaan rakan-rakannya juga turut dihantui kelibat itu.

Jika dilihat dari barisan pelakon seperti Nabila Huda, Syazwan Zulkifly, Adeline Tsen, Norish Karman pastinya anda tahu filem ini adalah 'sesuatu' atau dalam erti kata lain mempunyai jalan cerita yang kuat. Walaupun menerima ulasan yang baik dari media dan penonton, namun filem arahan M. Hitler Azmi ini tidak berjaya menarik lebih ramai penonton untuk ke pawagam menyaksikan filem "Gamatisme" ini.
Jwanita
Akhir sekali, filem "Jwanita" arahan pengarah terkenal Osman Ali. Ternyata filem yang mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan ini sangat dinanti-nantikan oleh penonton. Ia mengisahkan tentang seorang wanita bernama Jwanita yang mempunyai masalah mental serius akibat didera secara mental dan fizikal oleh ibu bapa angkatnya yang merupakan pengamal ilmu hitam.

Ternyata percaturan pengarah yang mengambil masa selama tiga tahun untuk menyiapkan filem ini berbaloi apabila ia mendapat banyak pujian daripada pengkritik filem dan penonton sendiri. Selain mempunyai jalan cerita yang sangat kuat, lakonannya mantap dari pelakon-pelakon pemenang anugerah seperti Bront Palarae, Cristina Suzanne, Maya Karin dan Datin Umie Aida nyata memberikan impak besar. Malah penulis secara peribadi menyifatkan "Jwanita" adalah filem seram nombor satu tempatan untuk tahun ini.
Apartment
Sementara itu, penulis juga ingin menambah sebuah lagi filem tetapi masih belum ditayangkan iaitu filem, "Apartment" arahan Pierre Andre. Pasti anda tertanya-tanya mengapa filem yang belum ditayangkan ini boleh dimasukkan dalam senarai ini? Adakah filem ini betul-betul terbaik ke? Untuk pengetahuan pembaca, semua karya Pierre Andre tidak pernah mengecewakan penonton terutamanya dalam genre seram.

Nampaknya Pierre seperti mahu mengarah filem setahun sekali sahaja kerana tahun lalu Pierre muncul dengan filem seram "Cerita Hantu Malaysia" yang turut ditayangkan pada bulan Disember. Walaupun filem itu hanya sebuah filem bajet kecil, namun filem yang menggunakan konsep omnibus ini mempunyai jalan cerita yang kuat dan menarik sekaligus mendapat pujian daripada pengkritik filem dan penonton. Oleh sebab itu, penulis secara peribadi berpendapat bahawa filem "Apartment" yang akan ditayangkan pada 31 Disember ini akan turut mengikut jejak langkah filem terdahulunya.

Cinema online 

0 comment... add one now