5 Pelakon Malaysia yang mencipta nama di peringkat antarabangsa


Kelima-lima pelakon ini membuktikan bahawa pelakon tempatan berupaya untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Tidak dinafikan, ramai bintang ternama Asia kini mula mencipta nama di pentas antarabangsa. Bukan mudah untuk mencapai kejayaan tersebut, tambah-tambah bagi pelakon tempatan. 

Namun situasi itu sudah berbeza yang mana kita dapat melihat lebih ramai pelakon-pelakon tempatan kini sudah mula mengorak langkah dengan mengembangkan bakat lakonan mereka di peringkat antarabangsa. 

Malah sejak akhir-akhir ini, kita dapat melihat beberapa pelakon tersohor tanah air bakal muncul dalam filem terbitan luar negara. 

Oleh itu, dengan bangganya ingin menyenaraikan lima pelakon tempatan yang mencipta nama di peringkat antarabangsa. 

Michelle Yeoh


Tan Sri Michelle Yeoh merupakan pelakon kelahiran Ipoh, Perak, Malaysia yang berjaya menapak di pentas Hollywood. Beliau yang merupakan bekas Ratu Cantik, memulakan kerjaya sebagai pelakon di Hong Kong menerusi filem aksi, dimana beliau sendiri melakukan aksi tersebut. Nama Yeoh lebih menyerlah menerusi filem "Police Story 3: Super Cop", gandingan bersama Jackie Chan. Yeoh membuat kemunculan pertamanya di Hollywood menerusi filem "James Bond", "Tomorrow Never Dies" bersama Pierce Brosnan. Antara filem Hollywood lain lakonannya yang menyerlah ialah "Memoirs of the Geisha", "Crouching Tiger, Hidden Dragon", "The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor" dan "Kung Fu Panda 2".

Aaron Aziz

Pelakon kelahiran Singapura ini mula menceburi bidang lakonan sejak beliau masih muda lagi iaitu ketika di Singapura, bagaimanapun namanya ketika itu tidak sepopular kerana tidak ramai yang tahu akan kehadirannya. Semuanya berubah selepas beliau mula mewarnai dunia hiburan tempatan dan sejak itu beliau sudah berpuluh-puluh membintangi drama dan berbelas filem. Selain berlakon beliau juga kemudian berjinak-jinak dalam dunia pengarahan dan muncul dengan filem pertama arahanya berjudul "Romeo Kota: Kes Fail Kriptik". Setelah lebih sedekad bergelar sebagai anak seni cukup untuk meletakkan nama Aaron pada kelas tersendiri. Terbaru, Aaron mendedahkan bahawa dia kini sedang menunggu tayangan dua buah filem Hong Kong terbarunya berjudul "Female Special Force" dan "Undercover Punch And Gun".

Rosyam Nor

Datuk Rosyam Nor atau nama sebenarnya Mohamed Noor bin Shamsuddin merupakan salah seorang nama besar dalam industri perfileman tempatan. Sepanjang pembabitannya dalam dunia lakonan Rosyam digelar sebagai pelakon serba boleh, yang mana setiap lakonan tidak kira drama atau filem pastinya akan memberi impak besar kepada penonton. Bakat yang ada pada pelakon ini bukan sahaja diiktiraf di dalam negara sahaja, malah turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang mana beliau merangkul trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Asia-Pasifik 1999 dan Pelakon Filem Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-51. Selain itu beliau juga merangkul lima anugerah di anugerah Festival Filem Malaysia sepanjang kariernya. Terbaru, beliau bakal muncul dengan filem Tamil "Kabali" yang dibintangi oleh superstar Rajinikanth bersama-sama dua pelakon tempatan lain iaitu Norman Hakim dan Zack Taipan.

Bront Palarae

Bront Palarae juga sama seperti pelakon-pelakon hebat yang disebut di atas. Selain berlakon, Bront juga seorang pengarah, penerbit, penulis dan juga pengacara. Beliau mula karier lakonannya pada tahun 2000 menerusi drama sebelum aktif dengan lakonan filem tiga tahun kemudian. Sejak itu, kerjayanya melonjak naik sehingga berjaya mengecapi populariti. Apa yang menarik mengenai Bront ini adalah beliau boleh dikategorikan sebagai pelakon artistik iaitu beliau lebih gemarkan naskhah-naskhah bukan mengikut arus perdana. Bagaimanapun, ia tidak bermakna beliau menolak mentah-mentah filem arus perdana kerana Bront juga pernah membintangi filem-filem seperti itu seperti "Girlfriend Kontrak", "Belukar", "Anak Halal","Ola Bola" dan banyak lagi. Lakonan beliau turut mendapat pengiktirafan apabila beliau berjaya meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 selain beberapa anugerah lain. Kini Bront sudah melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa apabila membintangi siri televisyen terbitan HBO berjudul "Halfworlds".

Wan Hanafi Su


Pelakon ini adalah salah seorang pelakon veteran yang masih lagi aktif dalam dunia seni sejak tahun 70an lagi. Walaupun namanya kurang popular di bibir-bibir penonton, namun bakat lakonan yang ada pada beliau tidak dapat disangkal lagi. Sepanjang kariernya, beliau telah berlakon lebih 100 drama dan lebih 10 buah filem. Antara filem yang pernah dibintanginya adalah "Hikayat Merong Mahawangsa", "Lelaki Harapan Dunia", "Polis Evo" dan banyak lagi. Selain itu, beliau juga terbabit dengan penggambaran filem produksi luar negara yang mana beliau membintangi filem "Apprentice" arahan Boo Junfeng yang mana telah membuat tayangan perdananya di Festival Filem Cannes, Perancis baru-baru ini sekaligus impian beliau yang mahukan lakonannya ditonton oleh penonton dari seluruh dunia tercapai.

0 comment... add one now