2,000 tudung Bawal Exclusive terjual hanya masa 3 jam

2,000 tudung Bawal Exclusive terjual dalam masa tiga jam


JENAMA tudung Bawal Exclusive tidak perlu diperkenalkan lagi. Cukup sinonim dengan perhiasan batu Swarovski, harga tudung yang dijual mampu mencecah hingga ribuan ringgit. Meskipun harganya pernah dikecam hebat, ia bukanlah penamat terhadap jenama ini.
Pengasas Bawal Exclusive Sdn Bhd, Haliza Maysuri, menyifatkan isu harga tudung yang pernah menjadi viral di laman sosial banyak membantu jualan tudungnya.  
Katanya, sejak isu viral tersebut, jualan tudungnya semakin meningkat dan secara tidak langsung mengukuhkan lagi jenama Bawal Exclusive di pasaran.
“Alhamdulillah, setelah 19 tahun beroperasi, jenama Bawal Exclusive semakin dikenali dan punya pengikutnya sendiri. Sejak dulu saya berusaha mengekalkan kualiti Bawal Exclusive dengan mutu kainnya yang diimport khas dari Jepun, serta batu Swarovski berkualiti tinggi yang diimport dari Austria.
“Oleh kerana saya mementingkan kualiti ini, maka harga setiap tudung berdasarkan kualiti yang diguna pakai. Makin banyak batu Swarovski, maka lebih tinggi harganya,” katanya yang memulakan perniagaan sejak 1998.
Mengulas lanjut, Haliza berkata, percaturannya memilih batu Swarovski sebagai tarikan utama pada tudung keluarannya nyata membawa tuah.
“Dulu saya hanya mencuba, tapi tak sangka, ramai pula yang membelinya. Dari hari ke hari, permintaannya semakin banyak. Kerana itulah saya berani hasilkan tudung bertatahkan batu Swarovski dengan lebih mewah.
“Jangan terkejut kerana memang ada pembelinya. Saya percaya jika ramai wanita mampu membeli kasut dan beg tangan berjenama sehingga beribu ringgit, maka pasti ada yang mampu membeli tudung dengan harga sedemikian,” katanya.
Haliza memberitahu, pelanggannya terdiri daripada orang kenamaan yang sanggup mendapatkan rekan terkini Bawal Exclusive dengan harga yang ditawarkan dari RM2,000 hingga RM7,000.
Bagaimanapun, tudung rekaannya itu masih mampu dimiliki semua golongan wanita Muslimah, memandangkan masih ada tudungnya yang dijual serendah RM46.
“Dalam sehari kita mampu jual beribu helai tudung. Jika ada rekaan terkini, jualannya lebih memberangsangkan. Dalam tiga jam, 2,000 tudung sudah terjual!,” katanya.
Wisma baharu di Puchong
Seiring popularitinya, isteri kepada Mohd Rosli Awang, 45, ini mampu tersenyum bangga dengan penubuhan wisma terbaru Bawal Exclusive yang terletak di Puchong.
Memilih batu Swarovski sebagai perhiasan di segenap ruang rekaan dalaman, pasti sesiapa pun teruja melihatnya.
“Saya memperuntukkan kos sehingga RM3.1 juta untuk memiliki bangunan serta perhiasan dalaman wisma ini. Memandangkan Bawal Exclusive cukup sinonim dengan batu Swarovski, maka saya memilihnya sebagai hiasan utama dalam wisma ini.
“Suasana ini juga direka khas untuk pelanggan Bawal Exclusive. Saya mahu mereka berasa gembira dan tenang membeli di sini,” katanya yang tetap meneruskan operasi perniagaannya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, meskipun sudah memiliki wisma baharu itu.
Memiliki wakil jualan hampir di seluruh negeri, Haliza turut memasang impian mengembangkan lagi perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, tumpuannya masih dalam rekaan tudung sahaja.
Sempena Ramadan, katanya, Bawal Exclusive tampil dengan rekaan terkini yang mana setiapnya hanya hadir dengan satu rekaan sahaja.
“Menjelang Ramadan dan Syawal, saya sasarkan 100 peratus peningkatan jualan dan rekaannya pasti lebih mewah. Harga jualan bermula dari RM1,000 hingga RM7,000 berdasarkan kemewahan batu Swarovski.
“Istimewanya, di Bawal Exclusive, kami masih mengekalkan jaminan terhadap tudung kami. Sekiranya ada batu yang hilang atau tercabut, kami akan gantikannya dengan yang baru tanpa kenakan sebarang kos,” katanya.

0 comment... add one now