Header Ads

RTM hos rasmi penyiar Olimpik Rio 2016 tawar 500 jam siaran


rio











Pengisian program Radio Television Malaysia (RTM) perlu lebih kreatif untuk terus kekal relevan sebagai sebuah badan penyiaran yang 
menjadi pilihan utama semua lapisan masyarakat di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, RTM yang baharu menyambut ulang tahun genap ke-70 pada 1 April lepas, perlu mengambil kira cita rasa dan selera penonton di Malaysia.

“RTM perlu membuat progam menarik yang tidak lari daripada selera masyarakat. Untuk menyampai sesuatu matlamat banyak caranya, tetapi yang penting RTM akan terus menjadi pilihan masyarakat kita,” kata Salleh.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Khas Sambutan Hari RTM Ke-70 Tahun dan pelancaran RTM sebagai penyiar rasmi Sukan Olimpik Musim Panas Rio 2016 untuk Malaysia di sini hari ini.

Temasya yang bakal berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil dari 5 hingga 21 Ogos depan menyaksikan RTM akan bersiaran 500 jam menerusi saluran TV1, TV2, TVi dan semua aplikasi platform mudah alih atas talian miliknya.

Ini merupakan kali pertama Brazil menjadi tuan rumah sukan terbesar dunia itu yang disertai lebih 10,000 atlet daripada 206 negara atau wilayah berdaulat termasuk penampilan buat julung kali Kosovo dan Sudan Selatan.

Sebanyak 306 pingat emas menjadi rebutan dalam 28 jenis sukan termasuk golf yang baharu diperkenalkan kali ini. Setakat ini, 14 atlet Malaysia mengesahkan tempat sebagai layak menyertai Olimpik 2016 dalam enam acara.

Dalam pada itu, Salleh ketika berucap dengan lebih lanjut berkata, sejak penubuhan RTM pada 1946 lalu, banyak perubahan besar yang berlaku termasuk persaingan sengit daripada pelbagai pihak.

“Persaingan itu memang perkara biasa dan kita (RTM) harus melihat dari sudut positif. Kalau kita bersaing kita harus sama-sama berusaha untuk membaiki keadaan sekarang ini, itu yang amat penting.

Salleh berkata kekuatan sebenar RTM yang tidak dapat dinafikan adalah kesahihan sesebuah berita dan maklumat yang disampaikan selama ini selain tidak pernah mensensasikan sesuatu berita panas.

“Sebagai lidah kerajaan, apa jua berita atau informasi disampaikan RTM pasti melalui proses pengesahan. RTM hanya siar fakta, bukan auta. Berita bersifat spekulatif atau sensasi semata-mata tiada tempat di RTM,” katanya.

Salleh berkata cabaran utama RTM bukan sahaja untuk menyampaikan maklumat dengan pantas, sebaliknya menjadikan rakyat mudah faham dan seterusnya menerima maklumat yang ingin disampaikan.

“Hasrat kita agar rakyat lebih faham dan menerima baik aspirasi kerajaan sebagai aspirasi negara yang dikongsi bersama, baik menerusi platform radio, televisyen mahupun media baharu.

“RTM juga perlu pantas dalam menyiarkan informasi yang tepat malah pantas dalam membetulkan informasi yang tidak tepat,” kata Salleh 

Sumber — Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments

Powered by Blogger.