Header Ads

Keunikan hotel terapung 'Lexis Hibiscus Port Dickson' jadi ikonik

LEXIS Hibiscus Port Dickson janjikan penginapan unik dan ikonik.
Daripada konsep kepada realiti, Lexis Hibiscus Port Dickson bagaikan sekuntum bunga raya mekar di Selat Melaka.
Tatkala senja, cahaya lampu menampakkan keunikan bentuk hotel terapung yang semakin menjadi buah mulut bukan saja pelancong dalam negara, tetapi dari seluruh pelosok dunia.
Air pancut setinggi 100 meter yang tertinggi di Malaysia dengan pencahayaan menarik pada waktu malam membuatkan sesiapa saja yang melihatnya terpesona.
Menakjubkan! Hanya itu yang dapat penulis ungkap­kan bagi menggambarkan keunikan hotel ikonik bertaraf lima bintang ini.
Mana tidaknya, Lexis Hibiscus Port Dickson yang terletak di Pasir Panjang dengan jarak perjalanan 120 kilometer dari Kuala Lumpur adalah hotel terapung yang menjanjikan 1,001 pengalaman indah.
Bagi yang sukakan ketenangan sambil menikmati keindahan laut lepas dan lokasi percutian sesuai untuk seisi keluarga, penginapan ini pastinya tidak mengecewakan.
Dibuka April tahun lalu, Lexis Hibiscus menawarkan 639 ‘pool villa’ dengan tujuh jenis pilihan bilik iaitu executive pool villa (108 unit), premium pool villa (292 unit), panorama pool villa (114 unit), imperial suite (6 unit) dan presidential suite (2 unit) yang dibina mengikut susunan bunga raya di atas air manakala sky pool villa dan royal suite (3 unit) di bangunan utama.
Bagaimanapun, buat masa ini, hanya tiga jenis bilik iaitu executive pool villa, premium pool villa dan sky pool villa dibuka untuk tempahan manakala empat lagi akan dibuka dalam masa terdekat.
Menariknya, selain mengetengahkan konsep kontemporari, bilik di Lexis Hibiscus dihiasi perabot serba moden dilengkapi kemudahan untuk memberikan penginapan santai.
Selain menyediakan dua katil bersaiz king, kolam renang dan sauna persendirian di dalam bilik serta panel lantai gelas yang menampakkan air laut sesuatu yang mengujakan.
Dengan adanya kolam di setiap bilik, anda bebas berenang di situ. Selesai berendam di dalam kolam, duduk di dalam sauna hangat dapat menyegarkan badan.
Menginap di Lexis Hibisuc Port Dickson ini, anda tidak perlu memandu kereta untuk menjamu selera kerana Roselle Coffee House dan Restoran Jepun UMI, menyediakan pelbagai jenis makanan menyelerakan.
Bagi menambah keseronokan si kecil, Kids World di tingkat dua bangunan utama tempat paling sesuai bagi mereka menghabiskan masa.
Pelbagai permainan menyeronokkan untuk si kecil menanti di sini. Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.lexishibiscuspd.com.
BILIK yang luas dengan dua katil besar memberikan keselesaan sepanjang menginap
KOLAM renang dan sauna persendirian di dalam setiap bilik memberikan kepuasan kepada tetamunya

No comments

Powered by Blogger.