Header Ads

Kereta kebal pelbagai guna "Terrier" ala-ala transformers


Dengan keupayaan memusnahkan jerangkap samar, menggali parit untuk dijadikan kubu, serta melakukan kemusnahan besar yang diinginkan sepanjang perjalanannya, kereta kebal baru tentera Britain boleh disamakan dengan apa yang digunakan dalam filem aksi Hollywood.

Direka oleh syarikat pertahanan dan aeroangkasa Britain BAE SYSTEMS (BAE), kereta kebal yang dinamakan Terrier itu dihasilkan untuk menghadapi cabaran perang moden, baik di medan tempur atau di luarnya.

Kerana kemampuannya yang serba boleh, kereta kebal itu dianggap Pisau Tentera Switzerland (Swiss Army Knife) kenderaan perang.

Di luar medan tempur, Terrier boleh digunakan untuk memeriksa jerangkap samar dalam tanah dan memusnahkan konkrit dengan penggerudi batu yang menjangkau sejauh lapan meter dari badannya, menggunakan lengan teleskopik.

Selain boleh dikendalikan oleh manusia, jentera seberat 32 tan itu boleh juga dikendalikan dari jarak jauh sehingga satu kilometer, jika keadaan difikirkan terlalu bahaya.

Kenderaan tentera pelbagai guna itu mulanya dilancarkan pada 2013 sebagai sebahagian daripada projek £360 juta (RM2.17 bilion) dengan Kementerian Pertahanan Britain bagi membantu tentera negara itu melakukan tugas seperti menggali, menggerudi, mengangkat beban berat dan membersihkan rintangan.

Bagaimanapun, dengan pembaikan yang berterusan terhadap kemampuannya, Terrier kini mampu meredah perairan dalam dan tahan dilanda ombak setinggi dua meter serta memusnahkan jerangkap samar sambil bergerak.

Ini bermakna ia boleh dikendalikan dalam keadaan lebih tegang daripada biasa.

Syarikat pembuatnya berkata, Terrier boleh menjadi senjata utama di kawasan pantai atau dikerah ke kawasan bencana yang sukar dijejaki kenderaan lain.

Kelengkapan baru yang dipasang pada kereta kebal itu, termasuk pemecah konkrit untuk memusnahkan jalan raya atau landasan bagi menghalang musuh menggunakannya serta bor tanah untuk menggerudi lubang untuk digunakan dalam kejuruteraan perang.

Pengurus jualan BAE, Rory Breen berkata: “Kemampuan Terrier meredah air lebih dalam dan meningkatkan perlindungan akan menjadikannya lebih sesuai untuk digunakan di kawasan pantai atau dataran rendah, tempat ia boleh memainkan peranan penting dalam penghantaran bantuan di kawasan bencana dan juga perang.

“Dengan lengan teleskopik, Terrier kekal sebagai kenderaan kejuruteraan perang paling berteknologi canggih dan fleksibel di dunia.

“Kerana kekuatan dan kepelbagaian kemampuannya, ia dengan mudah dapat menyesuiaikan diri dengan cepat dalam pelbagai keadaan, seperti membersihkan rintangan di hutan atau semak tebal.”

Kenderaan itu mampu mencapai kelajuan 70 kilometer sejam dan boleh dikawal dari jarak sehingga satu kilometer.

Seperti lengan penggerudi JCB, sistem pengangkat depannya mampu mengangkat beban seberat lima tan dan memindahkan 300 tan tanah sejam.

Di kawasan yang penuh dengan jerangkap samar, Terrier memiliki senjata khusus untuk memusnahkannya.

Pertama, roket Python yang digunakannya ialah sistem pemusnahan kawasan periuk api yang melepaskan hos bahan letupan sejauh 200 meter dari depan kenderaan itu, ala pencangkuk besi James Bond.

Sebaik digunakan dan memusnahkan periuk api, Terrier boleh menyediakan laluan yang bersih daripada bahan letupan.

Dalam pada itu, ia mempunyai penyodok yang boleh menyodok tanah untuk membersihkan periuk api sambil bergerak dengan kelajuan 24 kilometer sejam.

Jika dicabar, Terrier mampu melawan. Ia boleh dilengkapi mesingan dan pelancar bom asap untuk mempertahankan diri.

Menurut BAE, Terrier direka untuk memberikan kemudahan maksimum kepada tentera Britain dengan hanya menggunakan sebuah kenderaan, membenarkan mereka mengurangkan kelengkapan dan logistik.

Jurutera syarikat itu masih berusaha menghasilkan kelengkapan baru untuk kegunaannya bagi membolehkan pelanggan meningkatkan kemampuan kenderaan mereka bagi memenuhi keperluan tanpa perlu mengubah bentuk asalnya.

Sumber: myMetro

No comments

Powered by Blogger.