Header Ads

Tahukah anda maksud kod 3G,4G,H dan E pada telefon pintar

Telefon pintar kita membolehkan kita mengetahui kekuatan dan kelajuan liputan rangkaian internet kita dengan menggunakan kod abjad seperti 3G, H, dan E. Tapi tahukah anda apakah maksud kod-kod tersebut, dan apa kaitannya dengan kelajuan internet anda?
OK, mari kita kenal satu persatu. Bermula dari yang paling lambat.

mobile-networks-644x250

2G

Teknologi 2G pertama kali diperkenalkan pada tahun 1991. Ia merupakan teknologi yang membolehkan servis data seperti SMS dan MMS digunakan secara meluas di telefon mudah alih. Ia juga menandakan buat kali pertama isyarat radio berubah menjadi digital, bukan analog (1G), sekaligus membolehkan spektrum yang lebih besar untuk menambah pelbagai fungsi di telefon mudah alih. Oleh kerana ianya teknologi lama, kelajuan maksimum hanyalah 50 kbps. Sebahagian besar negara-negara di Eropah dan Amerika Utara telah pun menutup perkhidmatan 2G. Tapi di negara-negara membangun, ia masih digunakan secara meluas.

GPRS

GPRS adalah singkatan kepada General Packet Radio Service. Telefon mudah alih anda selalunya akan memaparkan huruf G apabila ia boleh menerima isyarat GPRS. Nama tidak rasmi teknologi ini adalah 2.5G dan mula digunakan secara meluas pada tahun 2000. Ia dianggap sebagai batu loncatan utama dalam pembangunan rangkaian 3G yang kita nikmati sekarang. Ini kerana GPRS merupakan rangkaian mudah alih pertama yang mempunyai ciri sentiasa terpasang atau always on. Walaupun teknologi ini hanya mempunyai kelajuan maksimum sebanyak 114 kbps, ia sudah cukup untuk anda menghantar mesej berbentuk teks melalui aplikasi Whatsapp.

EDGE

Jika anda nampak huruf E pada telefon mudah alih anda, ia menandakan anda mendapat sambungan ke rangkaian EDGE, atauEnhanced Data rates for GSM Evolution. Teknologi ini mula menjadi popular sekitar tahun 2003 kerana ia menawarkan kelajuan hampir dua kali ganda lebih laju dari GPRS. Kelajuan maksimum EDGE adalah 217 kbps. Jika anda ingin menonton Youtube pada resolusi yang paling rendah sekalipun, anda perlu bersabar kerana ia akan mengambi masa yang lama untuk dipaparkan. Teknologi ini juga dikenali sebagai 2.75G. Akan tetapi jika anda melayari internet menggunakan rangkaian EDGE, anda tidak boleh membuat panggilan pada waktu yang sama kerana isyarat data dan suara menggunakan infrastruktur yang sama dan hanya dipisahkan pada teknologi 3G.

3G

Teknologi 3G sebenarnya lebih tua dari apa yang anda jangkakan. Ia pertama kali dilancarkan di Jepun pada tahun 2001, dan pada tahun 2002 ia mula digunakan di eropah. Tidak seperti rangkaian GSM, GPRS dan EDGE, teknologi rangkaian 3G adalah berdasarkan piawaian UMTS, atau Universal Mobile Telecommunication Service. Dengan kelajuan maksimum sebanyak 348 kbps, 3G adalah rangkaian pertama yang membolehkan kita melayari internet pada telefon mudah alih. Telefon mudah alih dengan skrin berwarna juga mula diperkenalkan sekitar tahun 2002. Teknologi 3G juga membolehkan anda menghantar pesanan bergambar dan video. Akan tetapi anda masih perlu menunggu lama untuk menonton video youtube pada resolusi tinggi. 3G merupakan rangkaian yang paling meluas digunakan sehingga hari ini, termasuk Malaysia.

HSPA

Simbol H pada telefon anda bermaksud anda mempunyai sambungan ke rangkaian HSPA, atauHigh Speed Packet Access. Rangkaian ini adalah berdasarkan teknologi yang sama dengan rangkaian 3G, tapi ia mempunyai kelajuan maksimum sebanyak 7.2 Mbps! Peningkatan hampir 18kali ganda dari teknologi rangkaian 3G. Anda boleh menonton video Youtube dengan resolusi HD tanpa tersekat-sekat, melayari web moden dan juga menggunakan perkhidmatan penstriman lagu dan video tanpa sebarang masalah. Teknologi ini mula digunakan secara meluas pada tahun 2010.

HSPA+

Simbol H+ merujuk kepada HSPA+, atau Evolved High Speed Packet Access. Terdapat 5 versi rangkaian HSPA+, dan setiap satunya adalah lebih laju dari versi yang sebelumnya. Versi terkini iaitu versi 10 akan memberikan anda kelajuan maksimum sebanyak 168 Mbps, lebih 20 kali ganda lebih laju dari rangkaian HSPA. Ini adalah rangkaian yang paling laju yang boleh didapati di kebanyakan tempat kerana teknologi 4G masa kini masih terbatas di kawasan bandar besar sahaja.

4G

Jika anda lihat 4G pada paparan telefon anda, bersyukurlah kerana anda mempunyai sambunagn ke rangkaian yang paling laju di dunia setakat ini (secara teori). Teknologi 4G mula digunakan pada tahun 2009 di Stockholm dan Oslo. Terdapat dua piawaian teknologi 4G iaitu WiMAX (Worldwide Interoperability for Microwave Access) dan LTE (Long term Evolution). Bagi kita sebagai pengguna mungkin tidak akan dapat membezakan antara kedua-dua piawaian ini. WiMAX yang tidak serasi dengan sistem lama seperti 2G dan 3G membuatkan LTE lebih digemari. LTE juga menggunakan tenaga yang lebih rendah dan mempunyai kelajuan yang lebih tinggi, sebanyak 1 Gbps! Tak cukup laju? Rangkaian LTE-A akan memberi anda lebih kelajuan. Dan jika masih tidak cukup, anda perlu menunggu sehingga teknologi rangkaian 5G diperkenalkan secara komersil kerana ia boleh mencapai kelajuan sehingga 1 Tbps!
Masih keliru? Boleh lihat carta di bawah. Pencapaian teknologi kita sepanjang 15 tahun lepas sangat menakjubkan.
mobile-internet-speed-597x500


Apakah rangkaian yang anda gunakan untuk membaca artikel ini?
Sumber - tekroka.com, mekeuseof

No comments

Powered by Blogger.