Header Ads

Kenapa Anda Perlu Utamakan Membeli Rumah berbanding yang lain?

Image result for kenapa beli rumah

SETIAP manusia mempunyai keinginan memiliki kereta, keluarga dan rumah sendiri apabila bekerja kelak. Rumah atau tempat berteduh merupakan keperluan utama dalam kehidupan. Namun, dengan kos sara hidup yang saban hari kian meningkat, adakah memiliki kediaman sendiri hanya sekadar menjadi impian?
Ini ekoran kenyataan membimbangkan dengan skala harga rumah yang terpaksa dihadapi oleh semua rakyat Malaysia pada 2020 apabila pendapatan rakyat Malaysia mesti mencapai RM12,000 sebulan untuk memiliki hanya sebuah rumah teres.
Tidakkah ini amat menakutkan untuk ditempuhi oleh golongan yang baru menapak dalam pekerjaan atau generasi akan datang? Atau mungkin tatkala negara sudah di ambang negara maju, mata kita akan melihat longgokan penempatan di kaki lima jalan atau hanya di bawah jambatan dek kerana tidak mampu mempunyai kediaman sendiri.
Tambahan pula, kenaikan harga barangan keperluan yang menyebabkan wang semakin hilang nilainya. RM50 hanya sekelip mata habis dibelanjakan waima dengan hanya membeli rencah dan bahan-bahan untuk dibuat hidangan makan tengah hari sahaja.
Bayangkan bagaimana golongan berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa mencatu gaji bulanan untuk meneruskan hidup, lebih-lebih lagi di era yang segalanya perlu dibayar dengan wang.
Namun isu kenaikan harga segala barang ini jika ditulis hingga kiamat pun tiada sudahnya, terus-menerus menuding jari pada sesetengah pihak sehingga berbuih mulut pun masih tiada nokhtahnya. Mengapa tidak di tuding jari di muka sendiri? Bukan menempelak sikap sesetengah pihak, tetapi jika dinilai gaji bulanan hanya cukup makan, namun berbelanja seperti mereka manusia paling kaya di dunia.
Anak-anak pula ditabur dengan segala kemewahan, dari permintaan telefon pintar, komputer tablet, pakaian berjenama, dan segalanya wajib tercanggih. Tidak kurang juga pelajar di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta, wang pinjaman dijadikan tiket berbelanja sakan mengalahkan ahli perniagaan lagaknya, hujungnya mi segera menjadi santapan harian dek kekeringan wang.
Jika senario perbelanjaan rakyat Malaysia berterusan begini, tidak keterlaluan dikatakan impian untuk memiliki rumah sendiri akan hanya menjadi angan-angan. Dihitung secara kasar, ada logiknya rakyat harus mempunyai pendapatan RM12,000 sebulan untuk membeli sebuah rumah teres pada 2020. Pada masa kini sahaja harga rumah di Malaysia sudah mencecah nilai jutaan ringgit, inikan pula di zaman maju 2020.
Senario kenaikan harga rumah untuk lima tahun kebelakangan ini, bukan sahaja setakat berlegar di kawasan Lembah Klang malah sudah mula berjangkit di sekitar Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan di sekitar Semenyih. Contohnya, beberapa lokasi harga rumah teres baru di Semenyih dengan keluasan 24×70 kaki (7×21 meter) kini sudah mencecah harga RM460,000. Harga rumah bersaiz 22×70 kaki pula sudah mencapai RM510,000.
Harga rumah di Rawang untuk keluasan rumah 20×65 kaki dijual pada harga sekitar RM288,000. Dan harga rumah di Sungai Buloh bermain-main pada harga RM398,000 untuk keluasan 22×75 kaki. Senarai ini tidak termasuk lagi jenis rumah seperti Kondominium One Menerung di Bangsar yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit. Sementara, sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta manakala rumah teres dua tingkat di Cheras bermula dari harga RM500,000. Tidakkah ini amat memeritkan?
Jawapannya, tidak lain tidak bukan, mula berjimat dan menabung sedikit demi sedikit. Bukankah lama-lama akan menjadi bukit? Bercakap memang mudah berbanding mengamalkannya, tetapi jika dibajai dengan kesabaran, hasilnya pasti lumayan.
Kepada pelajar, jangan sia-siakan peluang belajar dengan tekun bagi mendapatkan kelas pertama demi menjadikan pinjaman bertukar kepada biasiswa. Kepada yang tidak mampu mendapatkan kelas pertama, belajarlah untuk berjimat mudah-mudahan dengan baki pinjaman masih di simpanan dapat meringankan beban untuk pembayaran kelak.
Bagi mereka yang sudah mula bekerja, janganlah terburu-buru membeli kereta, jika masih mempunyai pilihan, gunakan kemudahan kenderaan awam seperti LRT, Monorail, Bas Rapid dan sebagainya. Dahulukan membeli aset seperti rumah dijadikan agenda utama di dalam hidup, kenderaan menjadi impian kedua. Jangan lupa, langsaikan dahulu bayaran balik hutang pinjaman anda.
Peranan ibu bapa pula, didik anak-anak berbelanja dengan berhemah, juga amalkan sikap suka menabung demi masa hadapan. Untuk lebih jimat, wujudkan walau sedikit ruang untuk menanam sendiri jenis sayuran yang sering digunakan untuk masakan, misalnya daun kunyit, cili, sawi, serai dan sebagainya. Hasilnya bukan sahaja jimat malah menyihatkan tubuh badan dengan dapat mengurangkan bahan-bahan kimia yang selalunya digunakan ke atas bahan mentah yang terdapat di pasaran kini.
Penjimatan kos air dan elektrik juga perlu diambil kira. Hadkan penggunaan keduanya dengan sentiasa memastikan penggunaan air dengan kadar yang perlu sahaja, dan sentiasa pastikan tutup suis-suis elektrik yang tidak digunakan. Kesimpulannya, kita tidak akan dapat menyekat kenaikan harga setiap inci benda yang semakin meningkat saban waktu, berhenti menuding jari. Setiap permasalahan ada penyelesaiannya.

No comments

Powered by Blogger.