Header Ads

Animasi Mekamoto bakal susulan selepas Boboiboy dari Animonsta Studios


Ketua Pegawai Eksekutif, Nizam Razak juga merupakan pengarah untuk filem animasi
"BoBoiBoy: The Movie".
Animonsta Studios merupakan syarikat animasi tempatan yang terkenal dengan siri televisyen "BoBoiBoy" yang telah mencetuskan fenomena di kalangan kanak-kanak di Malaysia dan juga di luar negara.

Terbaru, mereka tampil dengan siri animasi cereka pertama berjudul "BoBoiBoy: The Movie" yang mana telah pun ditayangkan sejak 3 Mac lalu dan rata-rata pengulas filem tempatan memberikan pujian terhadap filem animasi itu.

Tidak mahu terlalu bergantung kepada satu animasi sahaja, pihak Animonsta kini dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah animasi terbaru berjudul "Mekamato" tidak lama lagi.


Ini adalah lukisan awal (draf) animasi terbaru Animonsta Studios, "Mekamato" yang
didedahkan secara eksklusif kepada Cinema Online.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios Nizam Razak, animasi terbaru mereka akan berbeza dari animasi "BoBoiBoy" yang mana ia akan terus di bawa ke layar perak.

"Sebenarnya kami belum dedahkan lagi berita ini kepada umum kerana kami merancang untuk membuat pengumuman rasmi pada September depan.

"Bagaimanapun, untuk animasi terbaru ini kami ambil pendekatan berbeza dari "BoBoiBoy" yang mana kami akan terus memperkenalkan "Mekamato" menerusi filem cereka animasi," ujarnya.

Tambah Nizam lagi, selepas filem diriliskan, baru mereka akan merancang untuk mengadaptasinya ke siri animasi televisyen pula.

Dalam pada itu, Nizam berkata pihaknya mempunyai perancangan menceburi pasaran yang lebih luas di rantau Asia selepas 2020, dan langkah pertama untuk mencapai sasaran tersebut sudah pun bermula dengan siri animasi popular "BoBoiBoy" yang kini sudah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris, Rusia, Arab dan Mandarin.

Selain itu, siri animasi televisyen "BoBoiBoy" juga ditayangkan di 45 buah negara di seluruh dunia.

No comments

Powered by Blogger.