Header Ads

Tahukah anda gunung tertinggi di dunia bukan Gunung Everest



Ada dua gunung dianggap tertinggi di dunia, Gunung Everest di Nepal lebih tinggi dari aras laut berbanding puncak mana-mana gunung lain, namun Gunung Kea di Hawaii tertinggi apabila diukur dari bahagian dasar ke puncak. 

Apabila mengukur puncak gunung mengikut aras laut, Gunung Everest adalah yang tertinggi di dunia. Berada pada ketinggian 8,850 meter, ia raja dalam kalangan gunung berukuran '8000 meter', membabitkan 14 gunung di dunia. 

Terletak di sempadan Nepal dan Tibet di banjaran Himalaya, puncak Everest kali pertama didaki Edmund Hillary dan Tenzing Norgay dalam satu misi penerokaan British. 

Walaupun nama asal Everest adalah Chomolangma, gunung itu diberikan nama rasmi Inggeris pada tahun 1865 oleh Andrew Waugh, seorang Ketua Juru Ukur British daripada Persatuan Geografi Diraja tanpa mengetahui nama tempatan, berikutan Nepal dan Tibet ditutup kepada orang luar ketika itu.


Dalam pada itu, gempa bumi dahsyat yang menggegarkan Nepal April lalu mengakibatkan Everest beralih tiga sentimeter ke arah barat daya, namun ketinggiannya tidak berubah. 

Sementara itu, Gunung Kea, gunung berapi tidak aktif di Honolulu adalah gunung tertinggi di dunia jika dikira dari dasarnya, amat dalam di Lautan Pasifik hingga ke puncak. 

Penentuan gunung tertinggi di dunia mengambil kira bahawa sebahagian besar Gunung Kea berada di bawah air, justeru mengukurnya dari aras laut tidak adil berdasarkan saiznya. Ukuran oleh Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) mendapati puncak Gunung Kea adalah 4,205 meter dari aras laut, namun jika diukur dalam air, ketinggiannya adalah 6,000 meter, menjadikan jumlah ketinggiannya 10,210 meter, 1.6 kilometer (km) lebih tinggi daripada Everest. 



Dalam bahasa Hawaii, Gunung Kea atau Mauna Kea bermaksud 'Gunung Putih' dan puncaknya yang bersalji menarik peminat sukan ski. Kawasan lereng yang rendah popular untuk tujuan berburu, mendaki, pemandangan dan memerhati burung. Lokasinya berhampiran garisan Khatulistiwa menjadikan Gunung Kea sebagai lokasi pemerhatian astronomi yang baik. 

Kadar kelembapan rendah dan langit cerah menjadikan keadaan cuaca dekat puncak gunung berapi itu sempurna sebagai tempat balai cerap utama dunia. 

Sumber - Agensi

No comments

Powered by Blogger.