Header Ads

Roberto Carlos minta Real jangan tiru helah penalti Messi



Real Madrid pastinya akan dikritik hebat jika cuba melakukan helah penalti yang sama seperti dilakukan Lionel Messi, kata Roberto Carlos.
Tindakan bintang Barcelona yang melakukan hantaran daripada sepakan penalti kepada Luis Suarez sehingga membolehkan penyerang Uruguay itu melengkapkan hatriknya ketika kelab Catalan itu membelasah Celta Vigo 6-1 Ahad lalu, mencetuskan beberapa reaksi berbeza dengan sekelompok pemain di Eropah turut mengkritiknya.
Carlos yang juga bekas pertahanan Real turut sangsi berhubung penerimaan orang ramai jika helah sebegitu dilakukan di Santiago Bernabeu.
"Jika kami melakukan perkara sama di Bernabeu, orang ramai akan mengatakan bahawa kami tidak menghormati lawan," kata Carlos kepada radio Sepanyol Cadena SER.
Pemain veteran itu turut menyelar Barcelona yang dilihat terlalu bergantung kepada trio MSN (Messi, Suarez dan Neymar) yang mana ianya begitu berbeza dengan suasana di Real.
"Orang hanya bercakap mengenai tiga pemain di Barcelona tetapi di Real, mereka berbicara mengenai ramai pemain," katanya.
Sementara itu, venue perlawanan akhir Copa del Rey sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila pasukan terbabit enggan membenarkan aksi akhir yang membabitkan Barcelona dan Sevilla dilangsungkan di Bernabeu kerana konsert Bruce Springsteen sudah dijadualkan untuk berlangsung pada tarikh sama dengan perlawanan akhir itu.
Bekas bintang Brazil itu berkata, Real tidak perlu berasa bersalah jika tidak mahu menyerahkan gelanggangnya kepada 'musuh' dan turut mendakwa Barcelona pernah melakukan perkara sama ketika dia masih menyarung jersi Real beberapa tahun dahulu.
"Copa del Rey tidak akan berlangsung di Bernabeu. Masih banyak lagi stadium di Sepanyol yang boleh menjadi pentas akhir perlawanan itu, jadi kenapa Bernabeu juga menjadi pilihan?
"Barcelona juga pernah melakukan perkara sama kepada kami apabila mereka enggan membenarkan aksi akhir berlangsung di Camp Nou ketika kami menentang Real Zaragoza pada 2004."
Sumber - Agensi

No comments

Powered by Blogger.