Header Ads

Dr. MAZA, mufti Perlis tidak dibenarkan ceramah di Johor


Johor sudah mempunyai ramai pakar agama dan tidak memerlukan orang luar untuk berceramah mengenai agama Islam di negeri ini, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abdul Mutalip Abdul Rahim.

Kenyataan beliau itu menyusul selepas viral di media sosial mengenai dokumen oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) kepada Sultan Johor yang melarang 16 individu termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dari berceramah di negeri itu.

“Ini bukan isu dokumen, ini isu penceramah yang tak dibenarkan berceramah di Johor.

“Di Johor pun ramai lagi orang yang pandai agama, Johor mesti jadi Johor (dan) tidak perlu orang luar datang kalau kita tak benarkan,” katanya, dipetik dari laporan Malaysiakini.

Selain Mufti Perlis, turut di larang berceramah di negeri itu termasuklah Exco Pergerakan Pemuda Umno yang juga penceramah bebas, Dr Fathul Bari Mat Jahaya.

Difahamkan, dokumen itu turut menyebutkan sebilangan penceramah dari luar Johor yang berceramah atau mengajar agama Islam di masjid, surau atau tempat awam telah menimbulkan kekeliruan dan membibitkan perpecahan masyarakat khususnya di kalangan umat Islam.

Selain itu, ajaran mereka juga didakwa tidak berteraskan ajaran Sunnah Wal Jamaah.

Menurut dokumen itu lagi, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bersetuju menerima cadangan supaya penceramah yang disenaraikan dilarang berceramah atau mengajar agama Islam di Johor.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Asri ketika mengulas isu itu memberi amaran akan menyaman pihak terbabit jika gagal mengemukakan bukti berhubung dakwaan beliau dilarang menyampaikan ceramah di Johor  atas alasan mengelirukan umat Islam.

“Ia adalah satu fitnah. Saya mencabar pihak pemfitnah itu membuktikannya. Saya rasa, mereka patut disaman fitnah.

“Bahkan, semua yang terlibat patut bersatu mengambil tindakan undang-undang kepada pihak berkenaan. Rakyat Malaysia boleh membaca tulisan saya di internet. Apakah mereka menemui hal yang seperti ini?,” kata Dr Asri.

Sumber : suara.tv 

No comments

Powered by Blogger.