Header Ads

Diet: Cegah dan rawat obesiti



UNTUK menurunkan berat badan, memang benar tenaga (kalori) yang meninggalkan tubuh harus lebih tinggi berbanding dengan tenaga yang masuk ke dalamnya.
Bagaimanapun, tubuh manusia yang merupakan mesin metabolisme yang amat kompleks memiliki faktor kompleks, yang memainkan peranan bagi mencapai keseimbangan tenaga negatif.
Faktor seperti mengurangkan pengambilan makanan berkarbohidrat, mengambil protein dan lemak tepu pada kadar lebih tinggi dipercayai dapat membantu menurunkan berat badan.
Mengambil makanan sebenar (tidak/kurang terproses) di samping meninggalkan makanan terproses terutama makanan bergula tinggi termasuk yang mengandungi sirap jagung (fruktosa tinggi) juga boleh membantu.
Kalori memang penting. Namun, ia tidak bermaksud pengiraannya diperlukan untuk setiap jenis diet atau langkah penurunan berat badan.
Dari segi makanan berkolesterol dan lemak tepu pula, sejak dahulu ia dikatakan berbahaya kepada kesihatan. Namun kajian sains terkini menunjukkan tiada kaitan antara kedua-duanya dengan penyakit jantung.
Kajian sains
Sila semak kajian berikut berjudul Egg consumption and risk of coronary heart disease and stroke: dose-response metaanalysis of prospective cohort studies (British Medical Journal, 2013), Metaanalysis of prospective cohort studies evaluating the association of saturated fat with cardiovascular disease’ (American Society for Nutrition, 2010), Association of Dietary, Circulating, and Supplement Fatty Acids With Coronary Risk: A Systematic Review and Meta-analysis (Annals of Internal Medicine, 2014) dan Reduced or modified dietary fat for preventing cardiovascular disease (Cochrane Library (Semakan intervensi), 2012).
Kajian diet rendah lemak yang dicadangkan di seluruh dunia menunjukkan keputusan tidak memberangsangkan. Kajian sains menunjukkan ia tidak membantu turunkan berat badan jangka panjang atau cegah penyakit jantung dan kanser.
Sila semak kajian berjudul Low-fat dietary pattern and weight change over 7 years: the Women’s Health Initiative Dietary Modification Trial (Journal of the American Medical Association, 2006), Low-Fat Dietary Pattern and Risk of Cardiovascular DiseaseThe Women’s Health Initiative Randomized Controlled Dietary Modification Trial, Journal of the American Medical Association, 2006) dan Low-Fat Dietary Pattern and Risk of Cardiovascular Disease: The Women’s Health Initiative Randomized Controlled Dietary Modification Trial (Journal of the
Amrican Medical Association, 2006).
Berdasarkan kajian sains berskala besar tersebut, ramai pengkritik yang mencadangkan agar orang ramai tidak mengamalkan diet rendah lemak. Diet terbaik untuk amalan seseorang bergantung kepada pelbagai perkara termasuk umur, jantina, aktiviti, jenis metabolisme, budaya makanan (food culture) dan kecenderungan peribadi.
Jadi, langkah mengesyorkan agar semua orang mengambil jenis dan mengamalkan pola pemakanan serupa (one size fits all) adalah keliru. Tidak dinafikan diet tertentu sesuai untuk mengatasi masalah kesihatan tertentu misalnya diet rendah karbohidrat (diet Atkins tinggi protein atau diet tinggi lemak terutama lemak tepu) dipercayai sesuai untuk penghidap diabetes.
Jika seseorang berhasrat menurunkan berat badan (atau menjaga berat badan) atau mencegah penyakit, mungkin faktor utama yang harus diutamakan ialah mengamalkan sesuatu yang boleh diamalkan untuk jangka panjang.
Proses penurunan berat badan adalah larian maraton bukan larian pecut. Ia harus berlaku secara beransuransur bukan secara mendadak, seperti mengamalkan makanan tambahan tertentu dan berat badan berkurangan berkilo-kilo dalam jangka masa singkat.
Mengambil makanan/minuman tinggi gula secara berpanjangan berbahaya kepada kesihatan. Namun, kajian menunjukkan minuman yang ditambah sirap jagung tinggi fruktosa boleh menyebabkan pelbagai masalah metabolisme (Sindrom Metabolik) yang dikaitkan secara kukuh dengan pembentukan pelbagai penyakit kronik.
Lihat kajian berjudul Adverse metabolic effects of dietary fructose: results from the recent epidemiological, clinical, and mechanistic studies yang terbit dalam jurnal Current Opinion in Lipidology, 2013. Lihat juga artikel penulis berjudul Fruktosa Lebih Bahaya dari Sukrosa di Sinar Harian atas talian.
Air berkarbonat dan pelbagai jenis air kotak dipercayai ditambah dengan sirap jagung tinggi fruktosa.
Minuman bergula
Minuman yang ditambah gula (gula pasir: terdiri daripada sukrosa) dikatakan mudah menyebabkan seseorang mengalami pertambahan berat badan dan mudah terdedah kepada penyakit yang berpunca dari gula berlebihan.
Sebuah kajian menunjukkan risiko obesiti meningkat 60 peratus pada kanak-kanak untuk setiap hidangan minuman yang ditambah gula! Lihat kajian berjudul Effects of food form and timing of ingestion on appetite and energy intake in lean young adults and in young adults with obesity dalam Journal of The American Dietetic Association (2009).
Jus buah-buahan yang tidak ditambah gula ialah minuman yang menyihatkan asalkan seseorang tidak minum jus buahbuahan manis misalnya tembikai secara berlebihan, lebih lapan gelas sehari.
Seorang pembantu jualan di sebuah kedai buah-buahan tempatan mengadu kepada penulis bahawa berat badan meningkat selepas kerap makan buah-buahan terutama yang manis setiap hari.
Ramai orang menganggap semua makanan berkarbohidrat bersifat menggemukkan. Pemahaman itu adalah keliru. Makanan/minuman bergula serta jenis gula tertentu (jika diambil berlebihan dan berpanjangan) seperti penulis bincangkan di atas merupakan sebahagian daripada makanan karbohidrat.
Sungguhpun demikian, bukan semua diet berkarbohidrat bersifat menggemukkan. Terdapat pelbagai contoh di mana penduduk di kawasan tertentu mengambil makanan tinggi karbohidrat amat tinggi (dimakan dengan makanan asli, tidak/kurang terproses) tetapi mereka tidak mengalami obesiti atau penyakit kronik seperti dialami oleh orang Barat.
Ia termasuk penduduk Okinawa, Kitavans dan sebahagian besar penduduk Asia (yang belum begitu terdedah dengan atau mengamalkan makanan/minuman terproses yang bermula di Barat) yang makan nasi pada paras tinggi.
Jadi, jika anda seorang yang sihat dan berusaha untuk terus sihat secara berpanjangan, maka diet rendah karbohidrat bukan pilihan bijak.
Sebaliknya, anda boleh mengamalkan makanan karbohidrat tidak terproses, kurang/tanpa gula dan tinggi fiber.

Sumber - SH 

No comments

Powered by Blogger.