Header Ads

Apakah penyebab fenomena kepala air



Setiap kali cuti umum seperti sekarang atau cuti penggal persekolahan dan musim tengkujuh, kita sering dikejutkan dengan berita yang menyayat hati. Kejadian lemas di sungai, kolam, tasik, lombong dan dihanyutkan arus kepala air saban tahun kerap menghiasi akhbar tempatan.

Apakah penyebab berlakunya kepala air @ pusaran air?

Fenomena kepala air sering berlaku bila aliran air sungai yang kuat akibat hujan lebat di kawasan anak sungai atau hulu sungai dan mengalir ke sungai utama. Fenomena ini berlaku ketika hujan lebat dan cuaca tidak menentu.

Kadangkala kawasan hilir sungai tidak berlaku hujan lebat, namun hujan lebat dan luar biasa di kawasan hulu. Keadaan ini juga mengakibatkan berlaku fenomena kepala air. Keadaan ini sangat berbahaya kerana aliran arus dan air yang kuat ini membawa puluhan sampah-sarap seperti daun kering, ranting kayu, kelodak, batu dan sisa batang pokok atau balak yang dibuang di sungai.

Aliran air sungai dan arus yang kuat ini merempuh apa sahaja yang ada di laluannya. Disebabkan aliran yang kuat inilah mangsa tidak dapat berbuat apa-apa ketika aliran air yang kuat ini berlaku. 

Berdasarkan kepada pembacaan dan pengalaman pengkaji, air pusar atau 'hidraulik' ini berlaku secara semula jadi disebabkan faktor morfologi sungai di kawasan jeram dan faktor ketinggian air. Tidak semua jeram mempunyai pusaran air yang berbahaya. Berdasarkan pengetahuan, pusaran air ini dapat dikelaskan kepada dua, iaitu jenis 'frowning' dan 'smiling.'

Jenis 'frowning' ini agak berbahaya kerana pusaran air di dalamnya akan menarik apa sahaja objek yang melaluinya ke tengah jeram, manakala jenis 'smiling' ini tidak bahaya kerana objek yang melaluinya dapat keluar dengan mudah dari sudut tepi jeram.

Apakah tanda-tanda berlaku fenomena kepala air?

Tanda berlaku fenomena kepala air ini ialah cuaca gelap di hulu sungai (puncak bukit) yang menandakan hujan di kawasan berkenaan. Air yang meningkat naik secara tiba-tiba, air berubah warna kepada kekuning-kuningan secara tiba-tiba dan air sungai berbuih dengan jumlah yang banyak di permukaan. Bagaimanapun, tidak semua tempat atau kawasan seumpama ini mempunyai siren amaran bagi memberi amaran kepada pengguna di kawasan itu.

Pusaran air ini boleh dilihat melalui laluan arus sungai sama ada kuat atau perlahan. Pusaran air ini sering berlaku di kawasan sungai yang mempunyai jeram. Faktor ketinggian air juga memainkan peranan penting kerana jika berlaku kenaikan air akibat hujan pada hari sebelumnya, kawasan pusaran air menjadi lebih kuat disebabkan arus yang menolaknya.

Bagaimana cara untuk menguji pusaran air?

Kaedah menguji pusaran air itu dengan membuang objek seperti ranting kayu ke pusaran, adalah cara yang amat berguna dan sering digunakan oleh penggiat kayak dan rafting arus deras. Jika objek yang dibuang ke dalam pusaran itu tidak ditolak keluar, menandakan pusaran air berkenaan berbahaya kerana pusaran air menarik objek yang melalui kawasan itu.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Sains Kesihatan, Fakulti Sains Sukan & Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).



No comments

Powered by Blogger.