Header Ads

10 masjid dengan senibina terindah di Malaysia

Masjid merupakan tempat di mana umat islam menunaikan ibadah solat. Bukan sahaja itu, malah ianya merupakan tempat majlis keagamaan diadakan serta pusat aktiviti sosial umat Islam. Kali ini, saya nak kongsikan dengan anda 10 masjid dengan seni bina terindah di Malaysia yang pastinya akan memukau mata anda.
1. Masjid Zahir, Kedah
Masjid yang terletak di Alor Setar, Kedah ini siap dibina pada 1912 dan ditanggung sepenuhnya oleh anak Sultan Tajuddin Mukarram Shah iaitu Tunku Mahmud. Masjid ini mempunyai 5 menara sebagai simbol 5 rukun Islam dan senibina masjid ini diilhamkan dari Masjid Azizi di Bandar Langkat, Sumatera Utara.
2. Masjid Jamek An Nur, Labuan
Satu-satunya masjid di Malaysia yang mempunyai rekabentuk yang sangat moden. Ia siap dibina pada tahun 1987 dan senibinanya adalah berkonsepkan Melayu Brunei dan Turki serta menggunakan elemen kontemporari seperti gril dan cermin lutsinar untuk pengudaraan dan cahaya semulajadi menerangi masjid ini.

3. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam
Masjid yang terletak di Shah Alam ini mempunyai menara kedua tertinggi di dunia dan ianya adalah masjid kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia. Selain itu, masjid ini juga mempunyai kubah terbesar di dunia dan berada di ketinggian 300 kaki dari paras bumi dengan garis pusatnya 170 kaki.
4. Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya
Masjid ini juga digelar Masjid Besi. Mula dibina pada April 2004 siap sepenuhnya pada Ogos 2009. Masjid Besi mempunyai keistimewaan yang tersendiri antaranya tiada pemasangan kipas ataupun alat penyaman udara di dalamnya, sebaliknya menggunakan gas penyejuk.
5. Masjid Ubudiah, Perak
Masjid Ubudiah ialah sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia. Seni reka yang diilhamkan oleh Encik Hubbeck telah menjadikan Masjid Ubudiah salah satu masjid yang mempunyai nilai seni reka yang bermutu tinggi. Masjid ini telah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.
6. Masjid Putra, Putrajaya
Masjid Putra terletak di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Pembinaan masjid ini berkonsepkan 2 konsep iaitu Timur Tengah dan Tradisional Melayu. Masjid ini terletak bersebelahan dengan Perdana Putra, pejabat Perdana Menteri Malaysia dan bersebelahan dengan Tasik Putrajaya.
7. Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Pembinaan masjid ini bermula pada tahun 1996 dan siap dibina pada tahun 2000. Masjid ini terletak di di sebuah kawasan berbukit di Jalan Duta. Berkonsepkan ‘Masjid dalam Taman’ dan merupakan masjid yang termoden di Malaysia pada masa kini.
8. Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah
Terletak di kawasan  strategik bulatan Sembulan antara Jalan Mat Salleh dan Jalan Sembulan. Di masjid inilah letaknya Makam Pahlawan Sabah, iaitu tempat bersemadinya tokoh-tokoh Sabah terkenal. Antaranya Tun Fuad Stephens (Donald Stephens), Tun Mohd Hamdan Abdullah, dan Tun Pengiran Ahmad Rafae.
9. Masjid Kristal, Terengganu
Masjid ini terletak 4 kilometer  dari pusat bandar Kuala Terengganu. Masjid ini mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri berbanding dengan masjid lain yang telah dibina. Masjid ini dibina di atas air di muara Sungai Ibai yang sekaligus menjadikan masjid terapung yang terulung di Malaysia.
10. Masjid Selat, Melaka
Masjid ini siap dibina pada 2006 bercirikan senibina Melayu dan Arab. Ianya dibina di atas pulau buatan di Selat Melaka dan ia juga dikenali sebagai Masjid Terapung kerana masjid ini seolah-olah terapung apabila air pasang.
Seni bina islam terutamanya seni bina masjid memaparkan keindahan masjid yang dicetuskan daripada kemahiran dalam binaan dan pertukangan yang tinggi.
Sumber - The Rakyat Post

No comments

Powered by Blogger.