Header Ads

Filem genre seram yang menarik bulan Februari 2016

Korang tahu tak bulan Februari ini boleh dikatakan bulan yang agak padat, di mana bulan Februari terdapat bulan perayaan Tahun Baru Cina, Valentine's Day dan juga musim Oscar.

Mungkin penonton di luar sana menjangkakan bulan Februari akan menyajikan filem-filem bergenre aksi, drama, romantik dan komedi. Tanggapan penonton silap, kerana bulan Februari ini juga akan mempunyai beberapa filem genre seram menarik untuk peminat filem seram!

Sebanyak lima buah filem seram yang terdiri dari filem tempatan dan antarabangsa akan ditayangkan.

Oleh itu, Cinema Online akan menyenaraikan filem-filem seram menarik sepanjang Februari ini khas untuk peminat-peminat filem seram di luar sana.

Pelepas Saka


MIG akan membuka tirai tahun 2016 dengan menampilkan sebuah filem seram. Nampaknya produksi milik David Teo ini masih lagi memberi tumpuan kepada filem bergenre seram. Ia mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Haider dan isterinya Alisya yang telah pulang ke kampung Mestika untuk menghadiri majlis doa selamat yang dilakukan oleh ibu bapa Haider, Adnan dan Nora. Adik kembar Haider, Raden juga pulang.

Dari kecil hingga besar Haider dan Raden mempunyai hubungan yang rapat, namun semuanya berubah selepas Haider berkahwin dengan Alisya yang merupakan bekas kekasih Raden. Sementara itu pada satu malam Asiah telah melakukan upacara melepaskan sakanya pada Haider. Haider yang tidak menyedari bahawa dirinya didampingi oleh saka Asiah mula berubah perangai.

Hashim Rejab merupakan seorang pengarah yang mempunyai kepakaran dalam mengarah filem seram, oleh itu pasti penonton yang meminati karya-karyanya sebelum ini tidak sabar untuk menyaksikan filem terbaru arahannya ini. Ia akan dibintangi oleh barisan pelakon baru dan lama seperti Fauzi Nawawi, Esma Daniel, Hafiz Bahari, Hanif Safuan dan Lydia Izati.

Tarikh tayangan: 4 Februari

Perjanjian Syaitan


Filem seram "Perjanjian Syaitan" ini menyaksikan pengarah filem M. Subash Abdullah kembali dengan filem seram terbaru selepas "Karma Reborn" dan "Misteri Bisikan Pontianak". Penonton jangan terkeliru dengan judul filem ini yang merupakan judul filem seram pada tahun 1981 yang mana ia diarahkan oleh S. Sudarmaji dan dibintangi pelakon seperti S Rosley, Dinda Sumantri, Azean Irdawaty dan ramai lagi. Ia dianggap sebagai filem Melayu paling seram pernah dihasil setakat ini. Namun, adakah filem yang menggunakan judul sama ini bakal setanding dengan filem 20 tahun lalu? Sama-sama kita saksikan!

Tarikh tayangan: 18 Februari

Pride and Prejudice and Zombie


Filem ini tiada kaitan dengan alam mistik, tetapi filem zombi ini sememangnya antara filem yang paling digemari oleh penonton. Filem arahan Burr Steers ini bukan sahaja seram, tetapi pengarah turut menyuntik elemen komedi dan romantik. Filem yang dibintangi oleh Lily James, Sam Riley, Matt Smith, Bella Heathcote, Jack Huston dan Douglas Booth ini jika dilihat sekali imbas tampak hampir sama seperti filem zombi "Warm Bodies". Nak tahu sama ke tidak? Kena tonton lah nanti.

Jalan cerita filem ini telah diberi sedikit 'twist' daripada novel Janes Austen yang mana ia mengisahkan tentang wabak misteri yang melanda England pada abad ke-19 apabila ia dibanjiri dengan zombi. Walaupun tidak bersependapat, seorang heroin berani bernama Elizabeth Bennet dan seorang pembunuh zombi Mr. Darcy perlu bersatu untuk menumpaskan zombi-zombi tersebut.

Tarikh tayangan:18 Februari

The Other Side Of The Door


Filem arahan Johannes Roberts ini mengisahkan tentang seorang wanita yang bersedih di atas kematian anak lelakinya, bergelut dengan perasaannya terhadap anak perempuan dan suaminya. Apabila dia mendapat tahu tentang satu ritual yang membolehkan dia mengucapkan selamat tinggal kepada anak lelakinya, dia tanpa berfikir panjang melakukan ritual itu. Malangnya, ritual itu secara tidak langsung telah membuka pintu gerbang di antara dunia realiti dan dunia kematian. Berikutan itu, dia kini perlu menyelamatkan anak perempuannya yang diancam oleh kejahatan yang dahulu merupakan anak lelaki kesayangannya.

Nampaknya berdasarkan sinopsis filem "The Other Side Of The Door" ini sebuah filem yang boleh dikatakan menarik untuk ditonton. Ia dibintangi oleh Sarah Wayne Callies, Jeremy Sisto dan Javier Botet.

Tarikh tayangan: 25 Februari

Munafik


Rasanya peminat filem seram tempatan pastinya tidak sabar-sabar untuk menyaksikan filem seram terbaru arahan pengarah berbakat besar Syamsul Yusof berjudul "Munafik". Selepas kejayaan filem seram terdahulu "Khurafat" yang mendapat kutipan pecah panggung, ramai yang ternanti-nanti filem seram terbarunya. Menurut Syamsul, filem terbarunya ia lebih berat dari filem sebelum ini dan akan diselitkan unsur keagamaan.

Ia mengisahkan tentang seorang pengamal perubatan Islam bernama Adam yang tidak dapat menerima takdir apabila isterinya meninggal dunia. Dia bersetuju untuk mengubati seorang wanita bernama Maria yang diganggu syaitan tetapi dia kemudian melalui pelbagai pengalaman pelik.

Tarikh tayangan: 25 Februari


Sumber : cinema.com 

No comments

Powered by Blogger.